Thursday, 31 March 2011

BIROKRASI DALAM SESB



Saudara Pengarang,

SAPP menerima banyak aduan daripada kontraktor-kontraktor yang melaksanakan dan menyiapkan kerja-kerja di 32 stesen SESB di Negeri Sabah. Ramai pengadu ini adalah terdiri dari kontraktor-kontraktor kecil bumiputra yang berjaya mendapat kontrak SESB secara kecil-kecilan.

Apa yang menjadi rungutan mereka, kalau dulu siap saja kerja-kerja yang mereka buat, SESB akan membayar mereka dalam jangka masa 2 atau 3 bulan. Sekarang dengan sistem baru, PO dilulus dan dibuat di Ibupejabat SESB Kota Kinabalu, mereka terpaksa menungu berbulan-bulan untuk mendapatkan pembayaran tuntutan mereka daripada SESB.

Ada antara mereka terpaksa menunggu 12 hingga 15 bulan untuk mendapat pembayaran. Perkara ini telah menyebabkan mereka menghadapi masalah perbelanjaan harian keluarga, melangsaikan hutang-hutang bahan-bahan peralatan yang diambil dari kedai-kedai untuk menyampaikan projek-projek yang dianugerahkan.

Selaku Timbalan Pengerusi SAPP CLC N.17, Tanjung Aru, saya merasakan bahawa birokrasi SESB dalam pengurusan yang remeh-temeh ini telah menyebabkan kesusahan terhadap kontraktor-kontraktor kecil bumiputra.

SESB khasnya dan TNB amnya harus bersikap lebih prihatin dan mengambil tindakan dan inisiatif positif terhadap kontraktor kecil bukan sahaja bumiputra tetapi semua kaum yang terlibat dalam melaksanakan kerja-kerja mereka.

Bukankah Kerajaan BN sudah menyarankan supaya kontraktor-kontraktor yang melaksana dan menyiapkan projek-projek kerajaan supaya dibayar dengan seberapa cepat (kalau boleh satu minggu) dari tarikh ianya disiapkan.

Diharapkan SESB / TNB mengambil tindakan yang sewajarnya. Janganlah kontraktor-kontraktor kecil ini dijadikan mangsa birokrasi !

Salam Hormat,

BAHARI ASHIP

Wednesday, 30 March 2011

JANGAN MENGHASUT PENGANUT AGAMA KRISTIAN!



Saudara Pengarang,

SALAM 1Sabah. Macam-macamlah Malaysia hari ini, sampaikan ‘Tarian Poco-Poco’ pun diharamkan di negeri Perak, namun saya amat kesal kerana pengharaman tersebut diputuskan kerana dalam tarian berkenaan ada unsur agama Kristian. Jika tidak suka dengan tarian tersebut, haramkan saja tetapi jangan sekali-kali menghasut Umat Kristian agar bertelagah dengan alasan yang tidak masuk akal.

Salam Hormat,

FIKIRAN LOGIK


PBRS WAJIB JAUHI FITNAH POLITIK



By: FAIZAL OKADAU

PAS sebagai parti pembangkang tertua di Malaysia yang masih bertahan sehingga kini kerana memiliki pendokong yang amanah, istiqamah disamping karisma kepimpinan yang menjadikan agama sebagai panduan dan tunjung dalam perjuangan.

Ahli PAS diikat dengan soal dosa dan pahala serta balasan syurga dan neraka. Itulah yang selalu disebut dan diingatkan dalam muktamar PAS, ceramah PAS dan kuliah-kuliah ustaz-ustaz PAS.

Kerja-kerja menfitnah ini adalah kerana yang bertentang dengan dasar dan matlamat perjuangan PAS. Apa lagi mencapai kuasa dengan cara yang salah dan bertentangan dengan prinsip kemanusiaan.

Malah PAS lebih rela kalah dalam pilihanraya daripada daripada memenangi atau mendapat kuasa melalui kaedah yang tidak sah seperti menggunakan senjata fitnah, rasuah pengundi, memperbodoh dan menutup maklumat sebenar kepada rakyat.

Dakwaan PBRS bahawa PAS memfitnah mereka dalam kes Sook disebabkan salah memahami PBRS terhadap apa yang diperkatakan dan diperjuangkan oleh pimpinan PAS Sabah.

“Kita merasa kecewa dengan sikap Kurup yang tidak turun ke medan untuk memahami rakyat terbanyak. Masalah tanah adalah masalah yang kronik kerana ianya melibatkan masa depan bahkan boleh dikatakan tanah adalah nyawa rakyat,” jelas Hisyamuddin, YDP PAS Kawasan Keningau.

“Kurup menutup ruang untuk rakyat mendapat pencerahan hak daripada PAS. Malah menggunakan pihak keselamatan untuk untuk menyekat penduduk kampong daripada mendengar penjelasan hak yang dibawa oleh PAS,” tambah Hisyamuddin merujuk kepada peristiwa kehadiran polis ke kampung-kampung yang dihadiri oleh rombongan Pengerusi Lajnah Tanah PAS Pusat, Mazlan Aliman baru-baru ini.

“Tuduhan PAS mengekplotasi penduduk Sook untuk menuntut hak, menggambarkan kepada kita bahawa Kurup menganggap penduduk atau pengundi Sook hak mereka dan hanya perlu mendengar kata Kurup sahaja. Sebab itu, kami mempersoalkan hak demokrasi dan parti berdaftar untuk bersuara dan membela penduduk Sook,” kata Hisyamuddin dengan nada kesal.

Menjawab penyelesaian terhadap masalah tanah di kawasan Sook melalui pembuburan hutan simpan kawasan Sook Plain Reserve dan Mandalom, Hisyamuddin menjelaskan bahawa sekali lagi Kurup bermain silap mata dengan penduduk Sook. Penduduk Sook diberi panadol untuk meredakan demam, pada hakikatnya, telunjuk lurus kelingking berkait.

SPR BERI JAMINAN TIADA PENGUNDI HANTU



Oleh: BERNAMA

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) telah melaksanakan pemeriksaan dan pengesahan dengan teliti untuk memastikan Daftar Pemilih Negeri Sarawak adalah yang terkini, selain bertujuan memastikan tiada pengundi hantu dalam pilihan raya negeri ke-10 itu.

Timbalan Pengerusinya Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata SPR telah melaksanakan dengan teliti proses pemeriksaan dan pengesahan Daftar Pemilih sehingga 21 Mac apabila Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

"Kami semak sebaik mungkin, (nama) mereka yang telah disahkan meninggal dunia oleh JPN (Jabatan Pendafaran Negara) sehingga 21 Mac ini sudah dikeluarkan," katanya kepada pemberita pada taklimat pilihan raya negeri Sarawak di sini pada Rabu.

Wan Ahmad berkata sejak Daftar Pemilih baru dikeluarkan, tiada sebarang aduan daripada parti politik di sini berhubung pengundi hantu.

"Mereka (parti politik) pun dah boleh beli daftar pemilih namun tidak ada nampak pihak yang membangkitkan isu pengundi yang diragui dan sebagainya," katanya.

Wan Ahmad berkata SPR amat berkeyakinan dengan usaha yang dilaksanakan oleh suruhanjaya itu dalam memastikan Daftar Pemilih semasa adalah yang terkini, dan tiada seorang pun yang boleh menyamar sebagai pengundi hantu pada pilihan raya negeri 16 April ini.

"Kita tidak perlu bimbang kerana setiap orang yang nak masuk mengundi mesti menunjukkan MyKad. MyKad itu mesti kita tahu yang tulen, jadi nama pengundi hanya satu saja dalam senarai, tiada sesiapa pun yang mempunyai dua nama yang berdaftar di dua tempat," katanya.

Bagaimanapun, Wan Ahmad berkata kemungkinan terdapat kes pengundi dari luar di kawasan yang bukan tempat tinggal mereka, bagaimanapun perkara itu adalah normal kerana orang ramai mempunyai hak untuk mengundi di mana-mana tempat yang mereka telah mendaftar.

"Misalnya, dia mendaftar di Telang Usang, jadi hari mengundi dia balik ke situ, itu hak dia mungkin dia lahir di situ," katanya sambil menasihati orang ramai agar tidak terkeliru dengan perkara itu.

SALIM BUKAN HIDUNG BELANG!



Saudara Pengarang,

BERHUBUNG satu artikel yang bertajuk ‘Warga India Hidung Belang’ yang bertarikh 8 Mac 2011. Saya Salim Sharafuddin seperti yang didakwa dalam artikel tersebut menyangkal sekeras-kerasnya fitnah yang berat dalam artikel tersebut.

Artikel itu dikeluarkan ketika saya berada di India selama 3 bulan setengah dan kembali ke Tawau 22 Mac lalu. Fitnah tersebut adalah tidak lain hanya untuk menjatuhkan populariti Restoran Yassin Curry yang begitu terkenal di Tawau.

Saya telah mengajukan fitnah ini kepada pihak yang berkaitan. Pihak Imigresen Tawau, Polis dan MUIS telah menyiasat berhubung perkara ini. Saya dapat makluman penyebar fitnah ini bukan orang tempatan dan seorang yang kami kenali.

Pihak kami akan membuat report polis atau saman malu sekiranya penyebar fitnah ini terus menerus menyebar fitnah terhadap kami. Saya sedia berkerjasama dengan sesiapa sahaja termasuk pihak sabahkini.net untuk membersihkan nama saya dan yassin curry house. Saya sertakan no tel saya 0168XXXXXX untuk memudahkan pihak Sabahkini.net menghubungi saya sekiranya perlu.

Sekian, Salam Hormat,

MOHD SALIM SHARAFUDDIN