Oleh: BERNAMA
SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) telah melaksanakan pemeriksaan dan pengesahan dengan teliti untuk memastikan Daftar Pemilih Negeri Sarawak adalah yang terkini, selain bertujuan memastikan tiada pengundi hantu dalam pilihan raya negeri ke-10 itu.
Timbalan Pengerusinya Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata SPR telah melaksanakan dengan teliti proses pemeriksaan dan pengesahan Daftar Pemilih sehingga 21 Mac apabila Dewan Undangan Negeri dibubarkan.
"Kami semak sebaik mungkin, (nama) mereka yang telah disahkan meninggal dunia oleh JPN (Jabatan Pendafaran Negara) sehingga 21 Mac ini sudah dikeluarkan," katanya kepada pemberita pada taklimat pilihan raya negeri Sarawak di sini pada Rabu.
Wan Ahmad berkata sejak Daftar Pemilih baru dikeluarkan, tiada sebarang aduan daripada parti politik di sini berhubung pengundi hantu.
"Mereka (parti politik) pun dah boleh beli daftar pemilih namun tidak ada nampak pihak yang membangkitkan isu pengundi yang diragui dan sebagainya," katanya.
Wan Ahmad berkata SPR amat berkeyakinan dengan usaha yang dilaksanakan oleh suruhanjaya itu dalam memastikan Daftar Pemilih semasa adalah yang terkini, dan tiada seorang pun yang boleh menyamar sebagai pengundi hantu pada pilihan raya negeri 16 April ini.
"Kita tidak perlu bimbang kerana setiap orang yang nak masuk mengundi mesti menunjukkan MyKad. MyKad itu mesti kita tahu yang tulen, jadi nama pengundi hanya satu saja dalam senarai, tiada sesiapa pun yang mempunyai dua nama yang berdaftar di dua tempat," katanya.
Bagaimanapun, Wan Ahmad berkata kemungkinan terdapat kes pengundi dari luar di kawasan yang bukan tempat tinggal mereka, bagaimanapun perkara itu adalah normal kerana orang ramai mempunyai hak untuk mengundi di mana-mana tempat yang mereka telah mendaftar.
"Misalnya, dia mendaftar di Telang Usang, jadi hari mengundi dia balik ke situ, itu hak dia mungkin dia lahir di situ," katanya sambil menasihati orang ramai agar tidak terkeliru dengan perkara itu.
No comments:
Post a Comment