Thursday, 31 March 2011

BIROKRASI DALAM SESB



Saudara Pengarang,

SAPP menerima banyak aduan daripada kontraktor-kontraktor yang melaksanakan dan menyiapkan kerja-kerja di 32 stesen SESB di Negeri Sabah. Ramai pengadu ini adalah terdiri dari kontraktor-kontraktor kecil bumiputra yang berjaya mendapat kontrak SESB secara kecil-kecilan.

Apa yang menjadi rungutan mereka, kalau dulu siap saja kerja-kerja yang mereka buat, SESB akan membayar mereka dalam jangka masa 2 atau 3 bulan. Sekarang dengan sistem baru, PO dilulus dan dibuat di Ibupejabat SESB Kota Kinabalu, mereka terpaksa menungu berbulan-bulan untuk mendapatkan pembayaran tuntutan mereka daripada SESB.

Ada antara mereka terpaksa menunggu 12 hingga 15 bulan untuk mendapat pembayaran. Perkara ini telah menyebabkan mereka menghadapi masalah perbelanjaan harian keluarga, melangsaikan hutang-hutang bahan-bahan peralatan yang diambil dari kedai-kedai untuk menyampaikan projek-projek yang dianugerahkan.

Selaku Timbalan Pengerusi SAPP CLC N.17, Tanjung Aru, saya merasakan bahawa birokrasi SESB dalam pengurusan yang remeh-temeh ini telah menyebabkan kesusahan terhadap kontraktor-kontraktor kecil bumiputra.

SESB khasnya dan TNB amnya harus bersikap lebih prihatin dan mengambil tindakan dan inisiatif positif terhadap kontraktor kecil bukan sahaja bumiputra tetapi semua kaum yang terlibat dalam melaksanakan kerja-kerja mereka.

Bukankah Kerajaan BN sudah menyarankan supaya kontraktor-kontraktor yang melaksana dan menyiapkan projek-projek kerajaan supaya dibayar dengan seberapa cepat (kalau boleh satu minggu) dari tarikh ianya disiapkan.

Diharapkan SESB / TNB mengambil tindakan yang sewajarnya. Janganlah kontraktor-kontraktor kecil ini dijadikan mangsa birokrasi !

Salam Hormat,

BAHARI ASHIP

No comments:

Post a Comment