Tuesday, 30 April 2013

HANYA YB BN BERIKAN KHIDMAT TERBAIK






SERTAI... Elis Kayan menyerahkan borang penyertaan Umno kepada Anifah (dia kiri) dan Mohd Arifin (kiri sekali).

MEMBAKUT: Hanya wakil rakyat Barisan Nasional (BN) memberikan khidmat kepada seluruh rakyat tanpa mengira anutan agama dan suku kaum.

Calon BN bagi kerusi Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Haji Aman berkata, wakil rakyat BN sentiasa berusaha memberikan khidmat yang terbaik untuk rakyat.

“Khidmat yang diberikan adalah untuk seluruh rakyat tanpa mengira anutan agama, kaum dan bangsa,” katanya pada majlis pemimpin bersama rakyat bagi zon Bandau di sini, kelmarin.

Hadir sama pada majlis itu termasuklah calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut Datuk Haji Mohd Arifin Haji Mohd Arif.

Anifah berkata BN juga akan memastikan rakyat terus menikmati kesejahteraan, keharmonian dan juga kemakmuran.

Katanya, rakyat tidak harus terpengaruh dan mempercayai dakyah dan fitnah yang dilontarkan oleh pembangkang.

“Kita sebagai wakil rakyat BN sentiasa mendekati rakyat dan sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada seluruh rakyat…kita bukan seperti pembangkang yang muncul mengikut musim,” katanya.

Sebelum itu calon BN DUN Membakut Datuk Haji Mohd Arifin Haji Mohd Arif berkata pembangkang melontarkan pelbagai fitnah untuk mempengaruhi rakyat.

“Saya dan Anifah adalah wakil rakyat dan ahli Parlimen dan kami bukan wakil rakyat untuk Umno tetapi untuk seluruh anggota BN, kami juga bukan wakil rakyat untuk orang Islam sahaja tetapi untuk seluruh rakyat,” katanya.

Beliau berkata dakwaan pembangkang kononnya beliau tidak memerlukan sokongan daripada masyarakat Kadazan Dusun (KDM) dan mereka yang bukan beragama Islam adalah fitnah yang sengaja dilontarkan oleh pembangkang.

“Kemenangan saya pada pilihan raya lepas bukan sahaja daripada undi mereka yang beragama Islam tetapi juga daripada masyarakat KDM dan mereka yang bukan beragama Islam,” katanya lagi.

Arifin turut menegaskan bahawa beliau dan Anifah akan terus berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk seluruh rakyat.

“Kita sentiasa mendekati rakyat dan akan terus berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik,” katanya lagi.

Pada majlis tersebut Anifah dan Mohd Arifin turut menerima permohonan penyertaan 231 bekas anggota Parti Maju Sabah (SAPP) yang menyertai Umno.

Borang tersebut diserahkan oleh ketua kumpulan tersebut Elis Kayan selain menerima sokongan daripada bekas anggota BN yang kembali menyatakan sokongan kepada BN. (ST)

RAKYAT PESISIR PANTAI SUKAU TERBELA






TUNDUN BUHANGIN: Calon Barisan Nasional (BN) Dun Sukau, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman menegaskan, usaha beliau memperkasakan program sosioekonomi untuk masyarakat pesisir pantai Dun Sukau akan diteruskan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 ini.

Katanya, beliau akan berusaha memastikan penduduk nelayan yang mendiami 16 buah kampung di kawasan ini mampu menonjol dalam bidang ekonomi berasaskan perikanan, selain antara kumpulan rakyat yang bakal meraih kemajuan fizikal seiring negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 kelak.

“ Antaranya saya berusaha untuk mengujudkan sebuah perkampungan nelayan moden di kawasan ini. Ianya bukan saja boleh meletakkan kawasan ini mampu memasarkan bidang perikanan dan akukultur ke tahap berskala besar, tetapi golongan nelayan yang lebih berkemahiran serta mempunyai kemudahan asas yang cukup bagi menjadikan sumber lain sebagai bidang perindustrian ekonomi mereka,” katanya.

Berucap dalam siri kempen beliau sebagai calon BN Dun Sukau di kawasan persisiran Pantai Dun Sukau di sini, Saddi berkata, perancangan yang boleh memberikan keseimbangan ekonomi kepada rakyat Dun Sukau yang tinggal di kawasan berkenaan pasti boleh dilaksanakan jika rakyat kawasan itu terus memberikan sokongan padu kepada Barisan Nasional.

“Kalau di tanah daratan Sukau, saya boleh mencadangkan pengwujudan Pekan Baru Sukau, Bandar Bio Diversiti, kenapa tidak di kawasan persisiran pantai yang pada tahun 70-an mampu memberikan sumbangan besar dalam sektor perikanan kepada Daerah Sandakan,” katanya.

Menurut beliau, masyarakat nelayan yang tinggal di kawasan berkenaan sudah amat mengalu-alukan perancangan bagi mewujudkan Perkampungan Nelayan Moden itu, ditambah dengan kewujudan sebuah program pengawasan kesalahan khas yang diwujudkan kerajaan menerusi penubuhan Pasukan Keselamatan Pantai Timur (ESCOM) yang menjadi agen kepada perlaksanaan ESSZONE.

Dengan adanya pengawasan keselamatan yang lebih rapi dan komited oleh pasukan tentera dan polis di bawah Esszone, tegas Saddi, masyarakat nelayan di situ tidak lagi merasa terancam untuk menjayakan bidang ekonomi mereka secara berterusan dan berdaya saing tinggi untuk melonjakkan pendapatan keluarga.

“Seperti yang kita sedia maklum, kerajaan Barisan Nasional (BN) sedia untuk mendengar permintaan dan tuntutan rakyat, apalagi dalam usaha memajukan bidang ekonomi penduduk luar bandar dan nelayan. Lihat saja kandungan bajet-bajet persekutuan dan negeri sebelum ini yang ditunjangi BN, kesemua menjurus kepada keperluan dan tuntutan rakyat,” kata Saddi.

Naib Ketua Umno Bahagian, Azman Haji Mastar menegaskan, rakyat kawasan Dun Sukau di mana juga perlu menyambut segala perancangan teliti Datuk Saddi dalam memajukan rakyat di kawasan itu, demi masa depan mereka.

Katanya, sokongan padu itu perlu diterjemahkan dengan mengundi BN pada hari pengundian yang jatuh pada 5 Mei depan.

Katanya, sebagai rakyat kawasan Dun Sukau, beliau dan semua pemimpin akar umbi dan rakyat perlu sentiasa merasa bertuah kerana BN memiliki ramai pemimpin berwibawa termasuk calon Dun Sukau, Datuk Saddi, diikuti Calon Parlimen, Datuk Bung Moktar Radin dan calon BN Dun Kuamut, Masiung Banah yang datang dari Parti UPKO, salah satu anggota komponen BN.

Gabungan kerjasama ketiga-tiga pemimpin yang diletakkan sebagai calon BN itu telah sekian lama mewarnai program pembangunan sosial rakyat di kawasan itu yang memberikan kebaikan kepada rakyat setempat.

"Dengan jasa-kasa yang telah disumbangkan mereka serta pemimpin terdahulu, sudah tentulah kita tidak harus berpaling kepada tawaran-tawaran yang dibuat oleh calon-calon parti lain yang matlamatnya hanya untuk merosakkan masa depan pembangunan, malah menjejaskan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini," kata Azman. (ST)

Monday, 29 April 2013

LEE BANGSAT, PENGARAH KHIANAT?






VIDEO KLIP : 6.58 MINIT

JIKA bumi Tanduo bermandikan darah kerana subahat petualang negara, adalah tidak mustahil suatu hari nanti, bumi Sabah akan dipenuhi oleh PATI yang mendapat IC Projek tetapi didewakan oleh para pegawai kerajaan yang memegang kuasa di hujung jari mereka. Videoklip ini adalah salah satu peristiwa yang terjadi di Sabah dan menuntut perjuangan semua pihak. Persoalannya bagaimana PATI ini diberikan tanah dan perbicaraan tanah di Mahkamah Kangaroo sekadar untuk menghapuskan Hak Anak Negeri melalui kuasa wang, penipuan dan komplot yang terancang. Kenapa pegawai bukan bumiputera yang dipertanggung jawabkan menjaga Hal Ehwal Anak Negeri?

MANTAN MP AJAK RAKYAT TOLAK PEMBANGKANG






Oleh : MUTALIB M.D

WALAUPUN dibayangi pelbagai kemelut dan persepsi, namun Mantan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman yakin Barisan Nasional akan berjaya mempertahankan kerusi tradisinya, Labuan tanpa menghadapi banyak rintangan.

Suhaili yang berjaya dihubungi sebentar tadi berkata walaupun terdapat prajudis di kalangan pengikut masing-masing dan beliau tidak dijemput memberikan ceramah, namun beliau tetap membantu calon BN, Rozman Isli, dengan mendekati para pengundi secara peribadi dan menghadiri setiap ceramah yang dianjurkan BN jika beliau berada di Labuan.

Kata Suhaili, sebagai pemimpin veteran, beliau tidak mahu menimbulkan sebarang kontroversi melalui publisiti kerana tumpuannya untuk membantu BN mempertahankan kerusi Labuan dengan majoriti yang lebih besar.

"Saya tidak mahu memberi sebarang kenyataan akhbar sebelum ini kerana mahu memastikan kedudukan BN selamat kerana untuk apa kita buat spekulasi jika belum pastikan jentera BN benar-benar mantap?," kata Suhaili yang menafikan laporan media bahawa berlaku krisis dalam parti.

Tegas Suhaili, beliau tidak bersetuju dengan laporan yang mengatakan bahawa Rozman rasis; namun mengakui kesilapan juru acara yang gemar menggunakan bahasa Kedayan sehingga ada pihak yang melakukan provokasi untuk menaikkan kemarahan masyarakat Brunei.

"Sudah lama berlaku asimilasi dan kepelbagai budaya Kedayan dan Brunei, tetapi tidak sampai berlaku persengketaan kaum kerana masing-masing daripada rumpun yang sama," ujar Suhaili yang meminta agar kedua kaum berkenaan kembali merapatkan barisan untuk memastikan masa hadapan mereka terbela di bawah panji-panji BN.

Kemunculan calon Pakatan Rakyat di ambang pilihanraya kata Suhaili, umpama fatamorgana di padang pasir nan tandus. Boleh dilihat tetapi sukar dipercayai janji mereka kerana semuanya hanya illusi.

Sehubungan itu, Suhaili menggesa agar jentera BN melaksanakan tugas mereka dengan penuh hemat agar dapat menarik lebih ramai pengundi dan memastikan tidak berlaku sabotaj dalam parti seperti yang menjangkiti Pakatan Rakyat sekarang.

BN KEMBALI TAWAN KOTA KINABALU




KOTA KINABALU : "Saya yakin BN (Barisan Nasional) boleh menang kerana pembangkang hanya timbul untuk raih simpati," bisik 'Uncle Yong' yang berketurunan Tionghua kepada penulis baru-baru ini.

Penulis yang melakukan tinjauan rambang dalam kalangan kaum Cina di kawasan Parlimen Kota Kinabalu turut dimaklumkan warga emas berusia lingkungan 60-an itu bahawa beliau dan rakan-rakannya terpikat dengan pelbagai inisiatif yang dilaksana BN di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Pemimpinnya (BN) juga semua bagus-bagus," katanya yang ditemui di Pasar Gaya Street.

Uncle Yong merupakan seorang daripada pengundi kaum Tionghua yang meliputi lebih 70 peratus pengundi keseluruhan di kawasan Parlimen Kota Kinabalu. Pada pilihan raya umum 2008, calon DAP Hiew King Chieu mengatasi calon BN Chin Teck Meng dan Christina Liew Chin Jin (PKR) dengan hanya 106 undi.

Pada 2004, BN menguasai parlimen itu menerusi Datuk Dr Yee Moh Chai yang memperoleh undi majoriti 10,806.

Seorang peniaga Chang Nyuk Kai, 60, juga secara peribadi berpendapat Najib merupakan Perdana Menteri yang prihatin dalam membela nasib rakyat terutama golongan kurang berkemampuan.

"Kami suka kerajaan (BN) sudah cukup bagus sentiasa mendahulukan rakyat, tiada kekacauan malah perniagaan pun maju di KK (Kota Kinabalu)," katanya yang lebih 10 tahun berniaga di pasar itu yang merupakan antara pasar tamu tumpuan rakyat tempatan dan pelancong.

Seorang lagi pengundi Monica Chung, 45, berkata beliau yakin rakyat di Sabah pasti melakukan pilihan bijak kerana BN mempunyai rekod prestasi yang baik dalam meneraju negara dan Sabah khususnya.

"Tunjang utama kesinambungan kemajuan negeri dan negara ini bergantung kepada dasar kerajaan yang baik dan pemimpin yang mampu memimpin dan ikhlas dalam membela nasib rakyat," katanya.

Desmond Laoi, 28, pula berpandangan walaupun golongan muda dilihat 'memberontak' ketika ini, beliau pasti pada akhirnya pengundi muda akan memilih wakil yang dapat membela nasib mereka.

Bagi mualaf Mohd Naim Lau, 27, beliau kagum dengan kejayaan program transformasi yang dibawa kerajaan BN setakat ini dan tidak sabar menunggu hasil pelaksanaan program itu pada masa depan.

Meng Fa Chui, 30, pula memberitahu beliau dapat merasakan angin perubahan dalam kalangan masyarakat Tionghua di bandar raya itu yang memihak kepada BN selepas lima tahun diwakili pemimpin DAP.

Saya yakin BN akan melakukan kejutan di kerusi Parlimen Kota Kinabalu ini, katanya.

Sementara itu calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Luyang Datuk Agnes Shim berkata beliau mahu membawa kaum Cina bersama-sama membangunkan bandar raya berkenaan.

Bermula sebagai perkampungan nelayan pada awal 1940an, Kota Kinabalu yang sebelum ini dikenali Jesselton kini antara bandar raya yang pesat membangun di Malaysia.

Kota Kinabalu melakar sejarah diiktiraf sebagai bandar raya pertama di alaf baharu pada 1 Feb 2000. (Bernama)