Monday 29 April 2013

MANTAN MP AJAK RAKYAT TOLAK PEMBANGKANG






Oleh : MUTALIB M.D

WALAUPUN dibayangi pelbagai kemelut dan persepsi, namun Mantan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman yakin Barisan Nasional akan berjaya mempertahankan kerusi tradisinya, Labuan tanpa menghadapi banyak rintangan.

Suhaili yang berjaya dihubungi sebentar tadi berkata walaupun terdapat prajudis di kalangan pengikut masing-masing dan beliau tidak dijemput memberikan ceramah, namun beliau tetap membantu calon BN, Rozman Isli, dengan mendekati para pengundi secara peribadi dan menghadiri setiap ceramah yang dianjurkan BN jika beliau berada di Labuan.

Kata Suhaili, sebagai pemimpin veteran, beliau tidak mahu menimbulkan sebarang kontroversi melalui publisiti kerana tumpuannya untuk membantu BN mempertahankan kerusi Labuan dengan majoriti yang lebih besar.

"Saya tidak mahu memberi sebarang kenyataan akhbar sebelum ini kerana mahu memastikan kedudukan BN selamat kerana untuk apa kita buat spekulasi jika belum pastikan jentera BN benar-benar mantap?," kata Suhaili yang menafikan laporan media bahawa berlaku krisis dalam parti.

Tegas Suhaili, beliau tidak bersetuju dengan laporan yang mengatakan bahawa Rozman rasis; namun mengakui kesilapan juru acara yang gemar menggunakan bahasa Kedayan sehingga ada pihak yang melakukan provokasi untuk menaikkan kemarahan masyarakat Brunei.

"Sudah lama berlaku asimilasi dan kepelbagai budaya Kedayan dan Brunei, tetapi tidak sampai berlaku persengketaan kaum kerana masing-masing daripada rumpun yang sama," ujar Suhaili yang meminta agar kedua kaum berkenaan kembali merapatkan barisan untuk memastikan masa hadapan mereka terbela di bawah panji-panji BN.

Kemunculan calon Pakatan Rakyat di ambang pilihanraya kata Suhaili, umpama fatamorgana di padang pasir nan tandus. Boleh dilihat tetapi sukar dipercayai janji mereka kerana semuanya hanya illusi.

Sehubungan itu, Suhaili menggesa agar jentera BN melaksanakan tugas mereka dengan penuh hemat agar dapat menarik lebih ramai pengundi dan memastikan tidak berlaku sabotaj dalam parti seperti yang menjangkiti Pakatan Rakyat sekarang.

No comments:

Post a Comment