Monday, 4 February 2013

KEMBALIKAN GUA GOMANTONG KEPADA PEWARIS






WAWANCARA......Awang Aspar sedang ditemubual mengenai kes tuntutan Gua Gomantong.


Oleh : SHAIMON S JUMADI                   Foto : SAFFIE S JUMADI

SUKAU : Setiausaha Badan Gabungan Pewaris Gua Gumantong  Awang Aspar Hj Liwangsa mendesak kepada kerajaan Negeri Sabah supaya mengembalikan hak Gua Gumantong kepada pewaris-pewaris yang sebenarnya.

Beliau kesal sebaik saja Negeri Sabah diperintah oleh Barisan Nasional (BN) sejak tahun 1994 kerajaan begitu mudah memberikan lubang-lubang sarang burung di Gua Gumantong kepada orang luar yang tidak berhak.

Kata Awang Aspar lagi sejak di  zaman pemerintahan era kerajaan USNO, BERJAYA sehinggalah era kerajaan PBS yang memerintah selama 9 tahun, Gua Gumantong tidak pernah dikeluarkan tender; malahan ditadbir urus oleh bangsa Sungai dan para pewaris lainnya.

“Ketika itu, masyarakat Sungai diberikan peluang pekerjaan untuk mengutip sarang-sarang burung berbanding era kerajaan UMNO/BN yang memerintah sekarang. Segala hak bangsa Sungai telah dinafikan kerana orang Cina pun boleh dapat lubang-lubang di gua tersebut asalkan ada RM4 juta,” ujarnya.

Awang Aspar mendedahkan hal ini kepada Sabahkini.Net dalam satu temubual eksklusif yang diadakan di Hotel Jockie, kelmarin.

Katanya, kerajaan BN telah menyalahguna kuasa dan merampas hak orang Sungai untuk memungut sendiri sarang burung yang menjadi warisan mereka sejak berzaman sehingga 80 peratus sumber ekonomi mereka terjejas.

"Ada yang sudah menjadi papa kedana kerana hak mereka dirampas orang luar yang diberikan keistimewaan dam hidup mewah daripada hasil rampasan hak orang Sungai," ujar Awang Aspar.

Tegas Awang Aspar, Kerajaan BN harus mengatasi penyelewengan yang berlaku dalam  pentadbiran Jabatan Hidupan Liar Sabah yang didalangi oleh Pengarahnya, Lawrentius Nambu dan Penguasa Jabatan Hidupan Liar Gua Gumantong, Hussin Muin, yang bersekongkol dengan orang tertentu sehingga begitu mudah memberikan kelulusan untuk memungut sarang; malah ada yang mendapat tujuh lubang gua.

“Kita telah melaporkan segala penyelewengan ini kepada SPRM, tetapi mereka lambat bertindak kerana kita percaya Skandal ini didalangi pihak tertentu seperti Ketua Pemuda UMNO Sabah, Datuk Awang Kadin Tang dan pihak atasan," kata Awang Sapar yang menggesa Unit Khas SPRM dihantar ke Jabatan Hidupan Liar dan Kementerian Kewangan Sabah.

Awang Aspar kesal kerana terdapat beberapa perampas lubang tersebut masih dibenarkan memungut sarang burung sekalipun mereka masih berhutang antara RM3 juta sehingga RM7 juta.

"Kita bukan cerita dongeng kerana semuanya telah dilaporkan Ketua Audit Negara dan telahpun dibentangkan di parlimen," ujar Awang Aspar lagi.

"Dalam hal ini, saya telah menghantar beberapa memorandum melalui  Setiausaha Politik Perdana Menteri iaitu Datuk Patmi Salleh semasa lawatan Perdana Menteri ke Sabah, tetapi sehingga ke hari ini, tiada sebarang tindakan," kata Awang Aspar yang kecewa dengan sikap Patmi kerana memperdaya para pewaris.

Natijahnya, kata Awang Aspar, 400 pewaris Gomantong telah membulatkan tekad tidak akan mengundi BN/UMNO pada PRU-13 setelah hak mereka dirampas dan tidak mengharapkan apa-apa lagi setelah semua janji pemimpin BN selama ini bagai kail bersalut umpan.

No comments:

Post a Comment