PASUKAN keselamatan Filipina
menembak mati 35 anggota pengganas Kiram dalam satu pertempuran sengit di Pulau
Sibutu di negara jiran itu Sabtu lalu, ketika kumpulan tersebut merancang strategi
untuk menceroboh dan menyerang pantai timur Sabah bagi mengganggu kelancaran
Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Menurut sumber, dalam
pertempuran lewat malam itu, dua daripada kira-kira 200 anggota pasukan
keselamatan Filipina yang terlibat dalam serangan tersebut turut terbunuh.
"Dengan kejayaan itu,
satu lagi usaha pencerobohan pengganas Kiram yang diketuai pemimpin kanannya,
Kalling Amirul untuk masuk ke negara ini berjaya digagalkan dengan kerjasama
pihak berkuasa Malaysia dan Filipina.
"Dalam serangan
berkenaan, Kalling dilaporkan terbunuh. Pasukan keselamatan turut merampas
lebih 20 laras senjata api M16 dan rifel Garand," katanya ketika dihubungi
Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Sumber itu seterusnya
berkata, rancangan kumpulan pengganas tersebut untuk menceroboh perairan pantai
timur Sabah dipercayai bertujuan merencatkan kelancaran proses pilihan raya
yang sedang berlangsung.
"Walaupun ancaman
daripada pengganas ada tetapi kawalan keselamatan akan diperketatkan dari
semasa ke semasa malah operasi-operasi membanteras akan terus mendapat
kerjasama daripada kerajaan negara berkenaan.
"Oleh itu, keselamatan
penduduk khususnya di Lahad Datu dan Semporna adalah terjamin dan hari membuang
undi juga diyakini akan berjalan lancar," katanya.
Dalam pada itu, tambah
sumber tersebut, pasukan marin Filipina turut mencatat kejayaan dengan
penahanan tujuh daripada 18 pengganas Kiram selepas menahan sebuah bot di Pulau
Sipangkut, Filipina semasa dipercayai dalam perjalanan ke Kampung Tanduo,
Sabah.
"11 pengganas itu walau
bagaimanapun berjaya melarikan diri," ujarnya.
Pada 19 April lalu, Polis
Diraja Malaysia (PDRM) mengesan cubaan kumpulan pengganas Kiram yang dibantu
Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) untuk menyusup masuk ke perairan
pantai timur Sabah bagi mengganggu kelancaran proses PRU-13.
Kumpulan pengganas
bersenjata itu dikatakan merancang masuk ke negara ini pada waktu malam dan
akan bergerak dalam beberapa kumpulan kecil ke daerah Sandakan, Beluran dan
Kinabatangan bagi mengelak dikesan.
Bagaimanapun, usaha
pengganas itu gagal setelah PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi
Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) diarahkan untuk mengetatkan
kawalan keselamatan di Sabah terutama menjelang hari penamaan calon dan
pengundian. (UM)
No comments:
Post a Comment