Monday, 29 April 2013

BN KEMBALI TAWAN KOTA KINABALU




KOTA KINABALU : "Saya yakin BN (Barisan Nasional) boleh menang kerana pembangkang hanya timbul untuk raih simpati," bisik 'Uncle Yong' yang berketurunan Tionghua kepada penulis baru-baru ini.

Penulis yang melakukan tinjauan rambang dalam kalangan kaum Cina di kawasan Parlimen Kota Kinabalu turut dimaklumkan warga emas berusia lingkungan 60-an itu bahawa beliau dan rakan-rakannya terpikat dengan pelbagai inisiatif yang dilaksana BN di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Pemimpinnya (BN) juga semua bagus-bagus," katanya yang ditemui di Pasar Gaya Street.

Uncle Yong merupakan seorang daripada pengundi kaum Tionghua yang meliputi lebih 70 peratus pengundi keseluruhan di kawasan Parlimen Kota Kinabalu. Pada pilihan raya umum 2008, calon DAP Hiew King Chieu mengatasi calon BN Chin Teck Meng dan Christina Liew Chin Jin (PKR) dengan hanya 106 undi.

Pada 2004, BN menguasai parlimen itu menerusi Datuk Dr Yee Moh Chai yang memperoleh undi majoriti 10,806.

Seorang peniaga Chang Nyuk Kai, 60, juga secara peribadi berpendapat Najib merupakan Perdana Menteri yang prihatin dalam membela nasib rakyat terutama golongan kurang berkemampuan.

"Kami suka kerajaan (BN) sudah cukup bagus sentiasa mendahulukan rakyat, tiada kekacauan malah perniagaan pun maju di KK (Kota Kinabalu)," katanya yang lebih 10 tahun berniaga di pasar itu yang merupakan antara pasar tamu tumpuan rakyat tempatan dan pelancong.

Seorang lagi pengundi Monica Chung, 45, berkata beliau yakin rakyat di Sabah pasti melakukan pilihan bijak kerana BN mempunyai rekod prestasi yang baik dalam meneraju negara dan Sabah khususnya.

"Tunjang utama kesinambungan kemajuan negeri dan negara ini bergantung kepada dasar kerajaan yang baik dan pemimpin yang mampu memimpin dan ikhlas dalam membela nasib rakyat," katanya.

Desmond Laoi, 28, pula berpandangan walaupun golongan muda dilihat 'memberontak' ketika ini, beliau pasti pada akhirnya pengundi muda akan memilih wakil yang dapat membela nasib mereka.

Bagi mualaf Mohd Naim Lau, 27, beliau kagum dengan kejayaan program transformasi yang dibawa kerajaan BN setakat ini dan tidak sabar menunggu hasil pelaksanaan program itu pada masa depan.

Meng Fa Chui, 30, pula memberitahu beliau dapat merasakan angin perubahan dalam kalangan masyarakat Tionghua di bandar raya itu yang memihak kepada BN selepas lima tahun diwakili pemimpin DAP.

Saya yakin BN akan melakukan kejutan di kerusi Parlimen Kota Kinabalu ini, katanya.

Sementara itu calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Luyang Datuk Agnes Shim berkata beliau mahu membawa kaum Cina bersama-sama membangunkan bandar raya berkenaan.

Bermula sebagai perkampungan nelayan pada awal 1940an, Kota Kinabalu yang sebelum ini dikenali Jesselton kini antara bandar raya yang pesat membangun di Malaysia.

Kota Kinabalu melakar sejarah diiktiraf sebagai bandar raya pertama di alaf baharu pada 1 Feb 2000. (Bernama)

No comments:

Post a Comment