Oleh : JALIBIN PAIDI
STAR adalah sebuah parti
memperjuangkan hak-hak Sabah seperti termaktub dalam Perkara 20 dan
dipersetujui melalui Perjanjian Malaysia 1963. Malaya memujuk kita membentuk
sebuah Negara baru bernama Malaysia dengan jaminan rakan kongsi sama taraf,
jaminan memerintah sendiri dan tidak dijajah.
Semua jaminan ini adalah
tersurat seperti kenyataan-kenyataan oleh Tunku Abd. Rahman, Perdana Menteri
Malaya 1957-1963.
Kita bersetuju membentuk
Malaysia disebabkan ancaman keselamatan oleh pihak Indonesia dan Filipina. Tapi
bila kita sudah membentuk Malaysia, sebaliknya pula IC Projek dibuat untuk
memberi kewarganegaraan kepada rakyat negara yang kita takut iaitu Indonesia
dan Filipana.
Kita mungkin tidak ditelan
oleh dua negara itu, tapi kini rakyat dua buah negara itu sudah melebihi
bilangan kita di negeri kita sendiri. Lebih teruk, di Kinabatangan, 117,000
dari 150,00 penduduknya adalah orang Indonesia atau Filipina yang punya IC atau
tanpa IC.
Harus diingat, walau pun
kita takut ancaman Filipina dan Indonesia sebagai alasan membentuk Malaysia,
kita membentuk Malaysia dengan adanya perlindungan hak iaitu 20 syarat kita
setuju bergabung. Syarat itu terkenal disebut sebagai Perkara 20.
Tapi nampaknya UMNO sudah
membakulsampahkannya dan PKR pula mahu mengkajinya sebagai penarik untuk kita
mengundi mereka. P20 adalah syarat kita setuju membina Malaysia, maka ianya
adalah untuk dilaksana, bukan untuk dikaji atau untuk dibakulsampahkan!
Beberapa kandungan penting
P20 yang sudahdirosakkan dan tidak dipatuhi ialah P1, P2, P6, P8, P11 dan P20
sedangkan P16 pula dengan jelas menyatakan bahawa adanya perlindungan hak
terhadap Sabah dalam Malaysia.
Artikel 8 dalam Perjanjian
Malaysia juga dengan jelas mengatakan bahawa Kerajaan Sabah boleh mengambil
apa-apa juga tindakan termasuk perundangan supaya semua syor, aku janji dan jaminan
pembentukan Malaysia itu dilaksanakan seperti kehendak Perlembagaan Malaysia.
P1 mengatakan bahawa kita di
Sabah bebas beragama dan kita setuju bahawa Islam adalah agama rasmi Malaysia.
P2 pula mengatakan bahawa Bahasa Inggeris adalah Bahasa Rasmi Sabah.
Malangnya pindaan di DUN
Sabah telah dibuat pada tahun 1970an menyebabkan kini Bahasa Melayu menjadi
Bahasa Rasmi Sabah. Hal ini membuktikan bahawa untuk hal berkaitan hak dan
kepentingan Sabah, hanya DUN Sabah yang berhak melaksana atau membatalkannya
dan bukannya perlu merujuk kepada Kerajaan Pusat.
P6 adalah berkaitan
Imigresen. Sarawak masih mengawal penuh Imigresen negeri mereka. Sebab itu
tiada isu PTI, IC Projek atau kes pencerobohan orang asing di sana. Tiada kes
orang tempatan dibunuh atau dirogol orang asing di Sarawak.
Tiada orang Pakistan diberi
IC di sana dan tidak wujud pengundi hantu. Malah, orang dari Malaya sendiri
tidak boleh sesuka hati memasuki Sarawak. Ini jelas membuktikan bahawa Sabah
dan Sarawak sepatutnya sebuah wilayah autonomi dalam Malaysia.
P8 pula menjamin semua
jawatan di Sabah mesti disandang oleh orang Sabah sendiri. Nampaknya,
sebaliknya pula, penjawat awam di Sabah berasal dari Malaya semakin ramai.
Mereka sudah merampas hak
kita dan menyebabkan ramai anak muda kita menjadi penganggur. P11 yang menjamin
hak kita mengurus hasil kewangan dan percukaian sendiri sudah diambil peranan
oleh LHDN. Akibatnya, hasil cukai kita dibawa ke Malaya.
Pada tahun 2012 misalnya,
hasil cukai kita ialah RM24 billion, tapi malangnya hasil ini semuanya Malaya
ambil. Maka tidak hairan kalau Sabah terus mundur dan Malaya terus maju.
Pada tahun 2012, jika hasil
cukai RM24 billion dicampur dengan hasil minyak Sabah RM17.8 billion, maka
jumlahnya RM41.8 billion. Inilah jumlah yang Malaya ambil hasil kita tahun
lalu. Jika wang ini dibahagi sama rata kepada semua Sabahan tulen, setiap orang
Sabah akan dapat RM2,322.00 setiap bulan!
Bayangkan duit sebanyak itu
sepatutnya kita miliki tapi hilang begitu saja kerana Perkara 20 dicabuli. Jika
RM41.8 billion itu dicampur dengan hasil kutipan Kerajaan Negeri sebanyak RM4
billion tahun lalu, ia sudah berjumlah RM45.8 billion.
Jika ia dibahagi kepada 60
DUN di Sabah, setiap DUN akan ada duit sebanyak RM763 juta untuk dibelanjakan.
Pembangunan dan kemajuan akan terhasil hanya dalam tempoh setahun! Sabah kaya
tapi Malaya yang nikmati kekayaan kita.
P20 pula memberi kita kuasa
berkaitan Tanah, Hutan, Kerajaan Tempatan dan lain-lain. Tapi bila parti
pemerintah Sabah adalah dari Malaya, Sabah hanya miliki Ketua Menteri bertaraf
mandur untuk menjaga Sabah seperti arahan ketua partinya di Malaya.
Kalau ketuanya di Malaya
arah itu dan ini berkaitan tanah atau hutan atau apa saja, ketua yang dilantik
Malaya itu akan menuruti semua perintah itu demi menjamin kedudukan jawatannya
sendiri. Sebab itu, syarikat sawit dari Malaya begitu mudah mendapat
tanah-tanah subur di Sabah dan merampas tanah NCR orang asal Sabah.
Lebih teruk, Perlembagaan
18.4 PKR menyatakan bahawa semua jawatan seperti Ketua Kampung dan Pengerusi
JKK hendaklah dilantik oleh Presiden PKR selepas mempertimbang cadangan
Pengerusi MPN PKR negeri.
Bayangkan bila Ketua Kampung
pun kelak tertakluk kepada menurut perintah Presiden sebuah parti dari Malaya.
Ia benar-benar bertentangan dengan semangat penubuhan Malaysia dan merosakkan
autonomi Sabah.
Sesungguhnya, kita wajib
tolak penjajahan Malaya ke atas Sabah dan menolak kemasukan parti-parti Malaya
di Sabah. P20 dengan jelas menyatakan bahawa Sabah ini kita punya dan bukan
Malaya punya. Malaysia ini pula adalah milik kita bersama secara sama taraf
antara Sabah, Malaya dan Sarawak dan bukannya milik Malaya seorang. Semangat
pembentukan Malaysia mesti kita pulihkan. Sabah ini adalah bertaraf Negara
dalam Malaysia.
Buktinya, Sabah, Malaya,
Sarawak dan Singapura adalah penandatangan Perjanjian Malaysia. Perlis, Johor
atau negeri di Malaya tidak pun layak menandatangan perjanjian itu. IC kita
dulu juga adalah ‘H’, setaraf dengan IC di seluruh Malaya ‘A’ dan Sarawak ‘K’.
Kini IC kita sudah turun taraf menjadi 12 atau kita menjadi negeri ke-12 dalam
Malaysia!
Ayuh bersatu seluruh
Sabahan. Siapa pun kamu, dari mana pun kamu, apa pun agama kamu, apa pun suku
kamu, Sabah ini adalah kita punya. Mari bersatu memperjuangkan hak.
Mari bersatu dalam STAR.
STAR adalah satu-satunya parti yang berjuang demi hak Sabah yang tercinta.
No comments:
Post a Comment