Monday, 29 April 2013

SENARIO PRU-13 MUNGKIN BERBEZA DENGAN PRU-12






KESINAMBUNGAN....Juslie yakin diberi mandat bagi penggal keempat untuk meneruskan kesinambungan misi dan visinya meletakkan Libaran dalam kerangka GTP, ETP dan Transformasi Negara.

Oleh : SHAIMON S JUMADI                  Foto : SAFFIE S JUMADI

SANDAKAN : Penyandang Kerusi Parlimen Libaran, Datuk Hj Juslie Ajirol semasa diwawancara Sabahkini.Net antara lain meyakini akan diberi mandat bagi penggal keempat sebagai Ahli Parlimen Libaran pada 5 Mei kelak.

“Saya akan lebih berusaha dengan penuh gigih untuk mempesatkan pembangunan prasarana kampung dan pesisir pantai dengan menggalakan masyarakat setempat menceburi pelbagai bidang secara kendiri,” katanya.

Manakala calon STAR di DUN Sungei Sibuga yang menentang calon BN, Datuk Sri Musa Hj Aman iaitu Mohd Roslan Yusoff ketika ditanya mengapa beliau memilih untuk bertanding di DUN Sungei Sibuga menentang Ketua Menteri Sabah, beliau mengatakan;




YAKIN....Roslan Yakin Star menang dengan majoriti besar di DUN Sg Sibuga.

"Saya menentang penyandang kerusi DUN Sungei Sibuga, Datuk Musa Hj Aman kerana selama menjadi ADUN Musa kurang memberikan tumpuan dalam masalah NCR, kemiskinan nelayan dan kemunduran ekonomi desa yang dicengkam inflasi."

Manakala Calon SAPP, Haji A.M Jaffar Hj Juana pula meyakini dengan sokongan padu 60 peratus masyarakat Cina terhadap SAPP akan memberi ruang kepada beliau untuk membuat kejutan sebagaimana sejarah membuktikan Kaduh Agundong berjaya menewaskan Gergasi Politik ketika itu, Datuk Harris Salleh.

Kata A.M Jaffar lagi, sejarah berkenaan mungkin berulang di Sungai Sibuga; apatah lagi penduduk Sungai Manila marah disebabkan Kilang Kelapa Sawit Sungai Manila telah dihentikan operasi sejak tiga tahun lalu.




SOKONGAN.....Jaffar meyakini sokongan Cina terhadap SAPP Sg Sibuga sebanyak 50 peratus.

"Pembukaan semula kilang berkenaan akan memberi lonjakan ekonomi kepada penduduk setempat yang bergantung kepada industri sawit dan hiliran," kata A.M Jaafar lagi.

Namun begitu kata A.M. Jaffar (SAPP) dan Roslan (STAR) mengakui senario politik pada PRU-13 ini sukar diramal kerana bergantung sepenuhnya kepada keyakinan rakyat kawasan DUN Sg Sibuga untuk memilih STAR atau SAPP atau meneruskan tradisi mengundi UMNO.

"Kami sedar bukan semudah itu untuk menumbangkan calon DUN Sungei Sibuga yang sudah berakar umbi dan banyak menabur jasa dan budi kepada rakyat di kawasan yang diwakilinya," kata Jaafar yang berharap sentuhannya kali ini tidak kecundang.

No comments:

Post a Comment