TAMBUNAN : Presiden Parti
Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan hari ini menyifatkan Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai 'Doktor Politik' atas kebolehan
beliau 'merawat' masalah negara.
Beliau berkata seperti
doktor perubatan, Najib akan mendengar permasalahan yang diajukan kepadanya
sebelum mengambil setiap data berkaitan supaya 'rawatan' dapat diberikan dengan
segera.
"Doktor politik ini
kemudiannya membawa data-data ini ke 'bengkel' untuk mendapatkan idea termasuk
daripada pihak swasta dalam mencari penyelesaian terbaik kepada rakyat,"
katanya semasa berucap merasmikan program jelajah Yayasan Sabah di Pisompuruan
Square di sini.
Turut hadir Pengarah Yayasan
Tan Sri Datu Khalil Datu Jamalul dan Penolong Pegawai Daerah Tambunan
(Pembangunan) Robert Stidi. Majlis dihadiri kira-kira 5,000 penduduk.
Sehubungan itu, Pairin
meminta rakyat Sabah dalam menjalankan kewajipan pada 5 Mei ini untuk tidak
melepaskan 'Doktor Politik' yang telah berada di dalam genggaman hanya kerana
mahu memilih pembangkang yang menjanjikan bulan dan bintang tanpa rekod
prestasi cemerlang sebagai ukuran.
Pairin berkata semasa
kerajaan sibuk melakukan pelbagai tranformasi kepada rakyat, pembangkang pula
bertindak memburuk-burukkan pemimpin negara di laman sosial dalam meraih
simpati pengundi.
"Jika dibandingkan,
tidak ada kerajaan sebaik Barisan Nasional (BN) yang prihatin dan selalu
memberikan pelbagai bantuan.
"Berbeza keadaannya di
negeri-negeri ditadbir pembangkang yang tidak tenteram kerana rakyat mereka
telah bangkit untuk menuntut pelbagai janji yang tidak ditunaikan berbeza
dengan BN yang berpegang kepada (slogan) 'Janji Ditepati," katanya.
Pairin yang juga calon BN
bagi kawasan Parlimen Keningau dan Dewan Undangan Negeri Tambunan juga yakin
parti gabungan itu akan mempertahankan kedua-dua kerusi itu pada pilihan raya
umum ini berdasarkan kehadiran masyarakat pada program anjuran parti itu.
"Sokongan masyarakat
merupakan satu petanda baik kerana menunjukkan penerimaan yang tinggi terhadap
program BN, yang setiasa cuba untuk membantu meningkatkan penglibatan rakyat
dalam bidang perniagaan, sosial dan pelancongan, sekali gus membolehkan mereka
menerima bantuan-bantuan yang dihulurkan kerajaan," katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment