Thursday, 1 August 2013

BENARKAH NEGARA KITA NEGARA AMAN SEPERTI DIPERKATAKAN?



oleh : ASPAN ALIAS




 Benarkah negara ini negara yang aman? Benarkah rakyat negara kita bukan seperti setengah negara di Afrika dan banyak negara lain yang setiap rakyat bebas ke sana ke mari dengan selamat? Jika benar negara kita sebuah negara yang selamat untuk bergerak bebas kenapa setiap hari dan minggu kita mendengar tembakan dan pembunuhan berlaku terhadap manusia dan ia berlaku di mana-mana.

Terbaru ialah percubaan membunuh Pengerusi MyWatch R Sri Sanjeevan di Bahau. Sebelum ini Timbalan Ketua Pengarah Kastam Di Raja Malaysia, Shaharuddin juga di tembak di persimpangan jalan di Putrajaya. Bunuh membunuh sudah menjadi begitu lumrah dan ia disyaki berlaku kerana pihak berkuasa terutama polis dan lain-lain yang terbabit dengan kegiatan jenayah besar atau melindungi penjenayah kerana ada unsur rasuah yang tidak terkawal.

Apakah benar negara kita negara selamat? Ini persoalan  sangat penting sehingga hari ini tidak ada pihak dapat diyakini kita semua berada dalam sebuah negara yang boleh di kategorikan sebagai negara yang aman.

Sanjeevan dikatakan menjadi mangsa penjenayah apabila beliau memberi isyarat yang beliau akan membongkar sindiket kegiatan dadah yang mungkin melibatkan polis. Jika ia benar tidak sepatutnya Menteri bertanggungjawab awal-awal lagi menafikan yang polis terlibat dengan kejadian ini. Elok dilakukan penyiasatan dahulu.

Pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam diRaja Malaysia dahulu juga disyaki ada kaitan dengan tugas beliau sebagai seorang penguatkuasa kerajaan tinggi dengan kuasa berada di tangan beliau. Jika kita lihat dan pandang betul-betul mereka yang menjadi mangsa pembunuhan atau cubaan membunuh itu melibatkan orang dalam jabatan dan tugasan membabitkan perniagaan.

Selain itu, di mana-mana berlaku jenayah yang menakutkan rakyat negara ini. Beberapa minggu lalu, tidak jauh dari rumah saya berlaku usaha membunuh seorang doktor apabila sekumpulan bersenjatakan parang menetak doktor pakar wanita itu sehingga putus empat jarinya serta hampir memutuskan lengannya.

Kalau disenaraikan perlakuan jenayah seperti ini ia amat menakutkan kerana terlalu banyak jenayah melibatkan nyawa manusia berlaku seperti ia perkara biasa sahaja. Kita hanya mendengar pembunuhan seperti ini hanya berlaku di Columbia dan beberapa negara di Selatan Amerika sahaja. Saya percaya lebih ramai lagi manusia mati dibunuh penjenayah daripada kematian anggota tentera yang berperang dengan musuh negara di hutan belantara dan sempadan negara.

Setiap waktu dan masa kita membaca yang pembunuhan berlaku di mana-mana. Banyak di antara pembunuhan ini berlaku berkaitan dengan perniagaan dan wang ringgit. Itu jenayah kolar biru. Bagaimana pula dengan jenayah kolar putih?

Mendengar pemimpin itu rasuah sana sini sudah menjadi pendengaran biasa. Itu pun jenayah yang tidak kurang bahayanya dari jenayah pembunuhan nyawa manusia. Jenayah berkolar putih ini amat merbahaya kepada rakyat negara dan jika ini tidak dapat dikawal ia akan menjadikan negara kita tidak aman lagi. Rasuah yang tidak henti-henti dilakukan ini akan membawa banyak mudaratnya kepada rakyat dan negara, kerana jenayah berkolar putih ini berlaku dalam skala besar dan akhirnya ia pernah melibatkan pembunuhan kepada manusia yang melakukan jenayah rasuah ini.

Jenayah tidak kira ia berkolar putih atau berkolar biru adalah sama. Tidak ada bezanya penjenayah seperti Botak Chin dahulu dengan perasuah dan peragut harta awam yang banyak itu. Kita perlu menganggap sesiapa yang melakukan rasuah itu sebagai peragut atau penyamun  dan perompak itu sama sahaja tarafnya dengan Botak Chin yang sangat terkenal dengan keganasannya merompak pada akhir 70-an dahulu.

Semuanya ini melibatkan keselamatan awam. Malangnya kita tidak mahu memberikan pengiktirafan yang penyamun dan perompak kolar putih itu sama kategorinya dengan penyamun berkolar biru itu.

Jika benar percubaan pembunuhan terhadap Sanjeevan ini kerana ada pihak tidak senang dengan tindakannya untuk membongkar sindiket dadah melibatkan pihak Polis ia adalah satu kejadian sangat menakutkan rakyat ramai. Yang mengesaki tentang penglibatan Polis dalam isu ini adalah bekas Ketua Polis Negara, Musa Hasan sendiri dan ini bukan perkara mudah untuk diselesaikan jika apa yang beliau syaki itu adalah benar.

Ramai merasakan kehidupan mereka tidak lagi aman dan tenteram kerana kita mendengar yang pihak yang sepatutnya melindungi orang ramai sendiri sudah dipersoalkan kejujuran mereka memikul tanggungjawab melindungi rakyat itu. Jika Polis tidak boleh dipercayai, Mahkamah tidak boleh diyakini serta pemimpin pula tidak boleh berlaku adil dan bersih ia amat menakutkan rakyat. Jika yang ditugaskan melindungi negara itu sendiri terlibat dengan jenayah yang mereka patut mencegahnya, maka tiada lagilah rakyat yang dahagakan keamanan itu tempat untuk berlindung.

Jika semuanya terlibat maka tidak akan ada pihak yang boleh melakukan apa-apa untuk menjaga kesejahteraan negara. Jika kita mengakui perkara-perkara yang berlaku ini melibatkan pihak penguatkuasa undang-undang, maka kita sekarang seolah-olah berada dalam sebuah negara yang tidak aman keseluruhannya.

Kadang kala ada kecederungan untuk mempercayai yang negara kita seolah-olah berada dalam darurat. Darurat dari pemikiran dan darurat dalam segala-galanya. Harta benda rakyat tidak selamat, kesejahteraan rakyat tidak terjamin dan keselamatan negara sendiri pun belum pasti dapat dilindungi.

Jika semua pihak lebih mementingkan kedudukan dan kekayaan diri dan keluarga sendiri maka tidaklah lagi sempurna kehidupan dalam sebuah negara yang dikatakan sudah merdeka dan aman damai ini.

Lebih teruk lagi ada kumpulan yang hanya mementingkan bangsa dan warna kulitnya sendiri sahaja dengan menyanyikan lagu lama yang mengelirukan orang ramai. Tajuk lagu yang saya maksudkan itu ialah ‘multiracialism’.

Sampai bila kita tidak akan aman. – aspanaliasnet.blogspot.com, 1 Ogos, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

No comments:

Post a Comment