Pihak yang menyebarkan
fahaman Syiah di negara ini boleh didakwa mengikut Enakmen Kawalan dan Sekatan
Pengembangan Agama Bukan Islam dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Mengenai
Pelanggaran Fatwa.
Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata menerusi Enakmen Kawalan dan
Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam, individu yang menyebar fahaman Syiah
boleh didakwa di mahkamah sivil.
"Negara mengamalkan
fahaman Ahli Sunnah Wal-Jamaah dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak
yang menyebarkan fahaman Syiah," katanya kepada pemberita pada majlis
penghargaan Sahabat Korporat Tabung Haji (TH) 2013 di ibu negara, Khamis.
Hadir sama Pengerusi TH
Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai
Eksekutif TH, Datuk Ismee Ismail.
Jamil Khir berkata individu
yang melanggar fatwa mufti pula boleh didakwa mengikut Enakmen Kesalahan
Jenayah Syariah Mengenai Pelanggaran Fatwa.
Beliau berkata kerajaan
sentiasa menilai dari semasa ke semasa undang-undang sedia ada untuk
diperkasakan bagi memastikan sekatan dan tindakan dapat diambil terhadap pihak
yang menyebarkan Syiah.
Sementara itu, Ismee berkata
keputusan mengenai jumlah jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci tahun ini akan
dibuat selepas Aidilfitri.
Beliau berkata Malaysia akur
dengan arahan kerajaan Arab Saudi supaya jumlah jemaah dikurangkan sebanyak 20
peratus berikutan kerja-kerja menaik taraf di Makkah.
Beliau berkata penerbangan
pertama jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci dijadualkan pada 7 Sept manakala
tarikh wukuf dijangka pada 14 Okt.
Katanya, 47 syarikat menjadi
Sahabat Korporat TH dan menjadi penyumbang kepada jemaah haji tahun ini dengan
nilai sumbangan berjumlah RM11.2 juta.
Antaranya ialah Yayasan
FELDA, Telekom Malaysia Berhad, PharmaNiaga Berhad, Tenaga Nasional Berhad,
Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Mobily, Celcom Axiata, Syarikat Takaful
Malaysia Berhad, Permodalan Nasional Berhad dan Uda Holdings Berhad.
Barangan yang disumbangkan
oleh syarikat-syarikat berkenaan merangkumi wang tunai, beg beroda, beg
sandang, multivitamin, set penjagaan diri dan sim kad prabayar untuk kegunaan
jemaah haji di tanah suci. (BERNAMA)
No comments:
Post a Comment