Thursday, 8 January 2015

BUDAYA TURUN PADANG AMALAN BAIK KATA JAMES



 
OLEH: SHAIMON S JUMADI



SUGUT : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Sugut Datuk James Ratib berkata budaya turun padang banyak membantu Kerajaan melaksanakan agenda pembangunannya apabila pemimpin terutama Wakil Rakyat tidak pernah mengabaikan tanggungjawab dalam usaha mendekati kelompok masyarakat tanpa mengira masa dan tempat.


Amalan murni ini membolehkan kerajaan mendapat sokongan yang jitu memandangkan keikhlasan kepemimpinan parti seperti Umno umpamanya, lebih mengutamakan kebajikan rakyat sekali pun sibuk dengan tugas seharian.

Namun, kerana komitmen apatah lagi amanah yang digalas membolehkan mereka senang didekati masyarakat pada setiap masa sekali gus mewujudkan hubungan perpaduan yang menjadikan proses pembangunan dapat berjalan lancar.

Interaksi inilah menjadikan parti tidak pernah pudar di hati rakyat biar pun pelbagai tohmahan atau dakyah yang mengelirukan cuba dilempar pihak pembangkang tetapi rakyat tetap memberikan sokongan padu mereka.

Ini kerana pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) tidak hanya muncul apabila tibanya musim pilihan raya sebaliknya sentiasa mendekati rakyat untuk mendengar permasalahan dan keperluan yang lebih-lebih lagi penduduk kawasan jauh terpencil di pendalaman.

Pendekatan turun padang turut berakar umbi dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sugut iaitu Datuk James Ratib yang sentiasa mendampingi masyarakat di kawasannya walaupun sibuk dengan tugas sebagai wakil rakyat tetapi keperluan rakyat tetap menjadi keutamaan.
  
Malahan, sejak menjadi Adun Sugut telah banyak perubahan besar daripada segi pembangunan yang berbentuk kemudahan asas mahu pun prasarana disalurkan ke kawasan secara berperingkat-peringkat.

Ia berikutan komitmen tinggi James yang bukan sahaja memastikan kelancaran pembangunan tetapi juga amat menitikberatkan soal kebajikan rakyat terutama melibatkan golongan kurang kemampuan.     

Bagi James selaku Pengerusi Sedcovest Holding Sdn Bhd ini, mendampingi rakyat adalah amat penting yang secara langsung membolehkannya memahami serta mengenal pasti apa jua keperluan di peringkat akar umbi.

"Saya akan pastikan permasalahan rakyat dapat diatasi sebaik mungkin kerana inilah perjuangan yang perlu dititikberat sejajar dengan matlamat dan agenda kerajaan BN yang bertunjangkan Umno itu," jelasnya semasa ditemui. 

Dalam pada itu, Ketua Umno Bahagian Beluran ini turut menziarahi salah sebuah keluarga di Kampung Tanjung Basai, Sugut yang kehilangan salah seorang anggota keluarga mereka baru-baru lepas.

Di kesempatan ziarah, beliau turut menghulurkan sedikit bantuan kepada anggota keluarga terbabit bagi meringankan beban.

No comments:

Post a Comment