KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
mahu rakyat berwaspada dengan tiga 'senjata' iaitu kutuk, hasut dan janji yang
digunakan pembangkang untuk memenangi hati mereka.
"Dia mesti kutuk
(kerajaan), mereka mesti tentang (kerajaan). Selepas itu, mereka mesti hasut
dan kemudian mereka menabur janji. Seperti yang saya telah katakan, mereka akan
menjanjikan bulan, bintang dan waima cakerawala," katanya ketika merasmikan
Persidangan Perwakilan Nasional ke-41 Gerakan di sini, Ahad.
Najib yang juga Pengerusi
Barisan Nasional (BN) berkata rakyat perlu berfikir tentang janji-janji manis
yang ditabur oleh pakatan pembangkang yang akhirnya terserlah sebagai racun
berbisa buat mereka.
"Adakah ia benar-benar
baik untuk rakyat atau akan membawa musibah kepada negara. Inilah rakyat mesti
fikir, sebab nak jadi pembangkang senjatanya ada tiga - kutuk, hasut,
janji," tegas Perdana Menteri.
Najib berkata untuk menjadi
pembangkang yang berwibawa dalam sistem Parlimen, mereka perlu memenuhi
beberapa syarat asas, satu daripadanya ialah menggunakan satu simbol sahaja.
"Pendek kata, anda
perlu berdaftar sebagai sebuah parti. Tetapi Pakatan Rakyat bukan berdaftar
sebagai sebuah parti atau mereka mempunyai satu simbol bersama," katanya.
Perdana Menteri berkata BN
telah menggunakan satu simbol sahaja, dengan semua calonnya bertanding di bawah
simbol atau lambang BN pada pilihan raya.
"Kami pergi berjumpa
dengan rakyat sebagai BN, tetapi pembangkang akan pergi berjumpa rakyat dengan
simbol berbeza (simbol parti masing-masing).
"Simbol tak sama...kita
tak pasti sama ada mereka akan bentang manifesto yang sama," katanya dan
menurutnya malah pergaduhan berhubung hukum hudud di kalangan pakatan pembangkang
juga telah berlaku secara terbuka.
Najib berkata ini
menunjukkan yang mereka tidak mempunyai pendirian bersama dan dasar bersama
mengenai bagaimana negara ini akan ditadbir urus, dan ini diperkukuhkan lagi
dengan kegagalan pembangkang mengisytiharkan "kabinet bayangan"
mereka.
Najib berkata negara tidak
seharusnya diperintah oleh pakatan pembangkang yang berterusan menabur janji
yang tidak mampu ditunaikan.
Beliau berkata 75 peratus
janji dibuat oleh kerajaan negeri Selangor pimpinan Parti Keadilan Rakyat masih
tidak ditunaikan manakala BN terpaksa campur tangan untuk menyelesaikan isu
Kampung Buah Pala di Pulau Pinang pimpinan DAP.
Perdana Menteri juga berkata
seorang pemimpin perlu adil dan saksama, sikap yang tidak terdapat pada diri
ketua pembangkang yang telah cuba menghalang seorang pegawai kanan pelajaran
yang kompeten di Pulau Pinang daripada dinaikkan pangkat satu ketika dahulu.
"Bila saya semak
perkara itu, saya sanggup mengambil risiko. Dia (ketika itu) Timbalan Perdana
Menteri, saya pula Menteri Pendidikan...saya kata "tidak", pegawai
itu mesti diberikan jawatan Pengarah Pelajaran. Dan saya bersedia menghadapi
akibatnya demi menegakkan prinsip. Seorang pemimpin perlu bersikap adil dan
saksama," katanya.
Beralih kepada Belanjawan
2013 yang dibentangkan beliau pada Jumaat, Najib berkata mantera falsafah
kerajaan dalam penyediaannya adalah mendahulukan rakyat dan segala langkah yang
dibuat adalah untuk rakyat.
"Belanjawan ini adalah
mengenai rakyat serta untuk menggerakkan ekonomi. Anda tidak boleh hanya
bercakap mengenai rakyat tanpa menggerakkan ekonomi, tanpa menarik pelaburan
asing, pelaburan domestik, inovasi dan produktiviti.
"Terdapat 111 inisiatif
atau touch points dalam Belanjawan 2013. Bacalah satu persatu-satu,"
katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment