PROTES....Penduduk
Pengerang membawa potret mendiang keluarga mereka sebagai tanda bantahan
terhadap projek RAPID di Pengerang, 30 September 2012.
Oleh : CLARA CHOOI DAN MOHD
FARHAN DARWIS
PENGERANG : Kampung Sungai
Rengit yang sunyi sepi sebelum ini bergegar apabila peserta demonstrasi
melaungkan slogan dan tiupan 'hon angin' mereka dengan berpakaian hijau untuk
menentang projek petrokimia bernilai RM60 bilion itu yang bakal menyaksikan
ribuan orang kampung kehilangan tempat tinggal dan kehidupan.
Perhimpunan raksasa Himpunan
Hijau Pengerang bermula awal sedikit daripada jadual dengan aman kerana
terdapat kebimbangan akan sekatan polis untuk menghalang ke tempat perhimpunan.
Dari 25 lokasi berlainan di
seluruh negara, termasuk dari Malaysia Timur Sabah, peserta perhimpunan sudah
berada di lokasi seawal jam 9.00 pagi dengan memakai baju hijau sambil
mengangkat sepanduk protes.
Himpunan hari ini turut
dipenuhi dengan gerai menjual T-shirt, payung, topeng muka dan makanan ringan,
dilihat terkawal dengan kehadiran pihak polis yang turut memantau dari udara
menggunakan helikopter.
Turut kelihatan adalah
pemimpin Pakatan Rakyat (PR) seperti naib presiden PAS Salahuddin Ayub dan
ketua DAP Johor Dr Boo Cheng Hau, termasuk jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 Wong
Chin Huat dan Hishammuddin Rais, yang merupakan juruacara demonstrasi hari ini.
Hishammuddin turut dilihat
menceriakan peserta protes dengan mengajar mereka menyanyikan lagu 'Suara
Rakyat' termasuk lagu 'Oh my darling Clementine'.
Baner dan plakad mengecam
projek Hab Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) yang menyaksikan pemindahan
lebih 3,000 penduduk Pengerang dari tujuh kampung kecuali Kampung Sungai
Rengit, petempatan majoriti masyarakat Cina di sini yang buat masa ini
terkecuali daripada rancangan pembangunan tersebut.
Menurut penganjur, kawasan
itu tidak diambil kerana nilai komersial tanah di Kampung Sungai Rengit yang
tinggi.
Namun begitu, ketua
pengerang PKR Taufik Jahir mendakwa objektif mereka adalah untuk 'mengusir
penduduk kampung dari rumah mereka' kerana Kampung Sungai Rengit akan menjadi
pulau yang dikelilingi Kompleks Bersepadu Petroleum Pengerang (PIPC).
RAPID akan meliputi 6,424 ekar PIPC yang keseluruhan nya seluas
22,500 ekar, yang menjadi rumah kepada 28,000 pengundi di Pengerang.
PIPC adalah projek mega
bernilai RM170 billion yang bakal menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab
petrokimia terbesar di Asia Pasifik.
“Sebaik sahaja kawasan ini
menjadi pulau, nilai hartanah di Kampung Sungai Rengit akan jatuh dan penduduk
akan terpaksa berpindah,” kata Taufik kepada The Malaysian Insider.
Pengerusi NGO Pengerang,
Anis Afida Mohd Azli, ketika berucap di hadapan peserta demonstrasi hari ini
menegaskan perhimpunan itu adalah sejarah buat penduduk pengerang yang bernai
bangun menyuarakan ketidak puasan hati mereka.
“Saya berdiri di sini dengan
rasa bangga kerana saya menjadi sebagai senahagian daripada sejarah, sejarah yang
mana rakyat bangkit menentang kerajaan yang zalim,” katanya disambut sorakan
gemuruh peserta protes.
“Lihat sekeliling kita, kita
tidak bersendirian di sini, kita ada rakan-rakan kita. Kita jangan takut untuk
mempertahankan tanah kita.”
Anis juga berkata, sejak
projek yang bermula Mei lalu berjalan, NGO telah membangkang dan berharap
sokongan diberikan penduduk bagi memastikan isu itu sentiasa menjadi perhatian.
“8 Oktober ini, kita akan
pergi ke Pejabat Menteri Besar untuk menyuarakan harapan rakyat,” katanya lagi.
“Hari ini, saya fikir cukup
untuk menyampaiakn mesej kepada kerajaan bahawa penduduk Pengerang ingin
menikmati rakmat yang diberikan Tuhan.”
Perhimpunan hari ini
berjalan dengan aman tanpa sebarang insiden tidak diingini dan tamat sekitar
jam 12 tengahari. (TMI)
No comments:
Post a Comment