DISELIMUTI hutan sekunder
dan dipisahkan sebatang sungai dari kawasan ladang kelapa sawit Sungai Nyamuk,
petempatan itu yang dilatari pokok-pokok renek dan kawasan berpaya serta
menghadap laut didiami 12 keluarga, rata-rata bekerja sebagai nelayan dan
pekerja ladang.
Namun, dalam sekelip mata
kedamaian perkampungan itu lenyap dan bertukar menjadi zon perang apabila
sekumpulan lelaki asing berpakaian ala tentera dan bersenjata api mendarat pada
hari Selasa, lebih sebulan lepas.
Pendaratan kumpulan pengganas
dari selatan Filipina di pesisir pantai Lahad Datu, khasnya di Kampung Tanduo,
dekat sini 12 Februari lepas membawa pelbagai cerita duka kepada penduduk,
sekali gus merubah rutin kehidupan daripada ceria kepada malapetaka.
Kedegilan kumpulan kira-kira
200 orang itu berundur dari Kampung Tanduo setelah diberi peluang, memaksa
kerajaan melancarkan gerakan ofensif ke kubu penceroboh itu pada kira-kira 7
pagi, 5 Mac menggunakan tiga jet penyerang F/A 18D Hornet.
Gerakan ofensif Operasi
Daulat itu diteruskan dengan lima pesawat Hawk melancarkan operasi pengeboman,
diikuti ledakan bertalu-talu mortar 91mm pasukan tentera darat sebelum
penggeledahan dilakukan untuk memburu saki-baki pengganas.
Setelah melalui proses
penggeledahan dan pembersihan yang panjang, Kampung Tanduo yang menjadi titik
pertempuran antara pasukan keselamatan dan kumpulan militan akhirnya diisytihar
bersih dan bebas daripada ancaman pada 11 Mac, sekaligus membawa khabar gembira
kepada penghuninya yang terpaksa berpindah ke beberapa pusat petempatan
sementara.
Bagaimanapun, kegembiraan
penduduk untuk kembali ke rumah bertukar pilu apabila melihat sendiri
kemusnahan yang dialami kampung mereka.
Kepulangan semula mereka ke
rumah masing-masing Selasa lalu selepas 43 hari insiden pencerobohan disambut
pemandangan menyayat hati menyaksikan ketenangan kampung yang dinikmati sebelum
ini lenyap daripada pandangan dengan rumah-rumah dan harta benda musnah.
Hampir semua rumah mempunyai
kesan tembakan akibat pertempuran dan ada yang hanya tinggal tiang, atap atau
serba tidak engkap, satu gambaran yang sebelum ini hanya dilihat dalam
peperangan di luar negara menerusi televisyen.
"Saya tidak mahu
tinggal di sini lagi...," ungkapan oleh Atareh Sabtal, 39, cukup untuk
menggambarkan kehampaan dan kepiluan penduduk kampung itu.
Kenangan hiba yang bakal
kekal dalam ingatan itu diceritakan semula oleh Asaad Majijil, 70, yang
memberitahu bahawa ertempuran itu menyebabkan beliau dan keluarga kehilangan
dokumen peribadi setelah rumah yang didiami sejak 50 tahun lepas musnah sama
sekali.
"Sangat sedih untuk
melihat keadaan rumah, memang teruk, dahsyat dan menakutkan," katanya
sambil air mata berlinangan.
Berikutan kerosakan teruk
yang dialami kampung itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib kemudian
mengumumkan Kampung Tanduo akan ditutup serta tidak lagi menjadi kawasan
petempatan dan penduduk yang kini menghuni pusat pemindahan sementara akan
dipindahkan ke satu lokasi baharu.
Pegawai Daerah Lahad Datu,
Zulkifli Nasir berkata, keputusan itu membolehkan pihak berkuasa menyusun
semula penduduk ampung itu yang sebelum ini tinggal secara berselerak di satu
kawasan penempatan baharu yang lebih kondusif di atas tanah erajaan seluas 120
hektar.
Adun Tungku Datuk Mohd
Suhaili Said pula berkata, penduduk tidak perlu bimbang kerana semua yang
terlibat akan ditempatkan di Projek Perumahan Rakyat Masej Nala, kira-kira 60
kilometer dari kampung itu sebelum penempatan baru disiapkan.
Menyambut baik langkah
menempatkan semula penduduk kampung itu di satu kawasan baru, Atareh, yang
masih trauma selepas menyaksikan rumahnya musnah teruk, berkata keputusan itu
amat tepat, sekali gus mengembalikan keyakinan mereka untuk terus menjalani
kehidupan seperti biasa.
"Saya tidak mahu
tinggal di sini lagi... saya juga tidak mahu tinggal dalam komuniti yang
mempunyai musuh dalam selimut, jadi adalah baik jika ditawarkan sistem
perumahan yang teratur," katanya.
Dalam pada itu, seorang
komando tentera yang terlibat dalam operasi awal memerangi pengganas di Kampung
Tanduo berkata, lokasi kampung itu yang agak jauh dan terasing daripada
masyarakat memungkinkan pelbagai kejadian jenayah selain mudah terdedah kepada
ancaman pengganas, khususnya dari laut.
"Lokasinya yang hampir
dengan laut dan dekat dengan negara jiran cukup berisiko, ditambah lagi dengan
keadaan hutan serta berpaya dan laluan berliku untuk sampai ke kampung itu....
ini semua menyukarkan pihak keselamatan memberi bantuan segera sekiranya
terjadi sesuatu insiden buruk," katanya yang enggan dikenali. (Bernama)
No comments:
Post a Comment