Thursday, 16 April 2015

DEB Belum Capai Target Bumiputera Sepenuhnya




PESERTA...Rosnah (tengah) bersama peserta dan penganjur kursus semasa majlis tersebut


PAPAR: Matlamat kerajaan  untuk membentuk  dan melahirkan masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera di bawah DEB belum mencapai tahap sepenuhnya, justeru kerajaan akan meneruskan usaha melalui pelbagai program ,bimbingan dan bantuan bagi memastikan usahawan bumiputera dapat bersaing dalam bidang perniagaan.



Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Hajah Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, kerajaan komited dan akan terus mengukuhkan kedudukan dan penyertaan kaum bumiputera dalam pembangunan ekonomi negara.



DIHARGAI..Rosnah menerima cendera kenangan dari penganjur selepas merasmikan kursus tersebut

Katanya, menyedari pencapaian ini masih agak rendah kerajaan komited memperkenalkan lebih banyak program komprehensif untuk menggalakkan kaum bumiputera menceburi bidang perniagaan.

“Cabaran bagi melahirkan ramai usahawan di negara ini menjadi semakin hebat  ekoran keadaan ekonomi kita yang lembab.   Oleh itu, kita bukan sahaja perlu menumpukan kepada inisiatif melahirkan usahawan semata-mata, tetapi juga perlu memberi perhatian kepada usaha membentuk usahawan-usahawan yang memiliki daya tahan dan daya saing yang tinggi supaya  mereka mampu bertahan dan bersaing meskipun berhadapan dengan persekitaran ekonomi yang lembap," katanya ketika berucap merasmikan kursus Pemprosesan Kek Bun dan Biskut anjuran Perbadanan Ekonomi Sabah (SEDCO) dengan kerjasama Sedcovest Holdings Sdn Bhd di Dewan Masindung Resort Kawang Papar kelmarin.


MESRA..Rosnah bersalaman dengan para peserta kursus sejurus tiba untuk merasmikan kursus tersebut

Menurut Rosnah yang juga Ahli Parlimen Papar, usaha berterusan bagi memberikan kesedaran kepada kaum bumiputera di negara ini khususnya di Sabah perlu terus dilaksanakan agar mereka memilih bidang ini sebagai pilihan terbaik bagi memastikan kaum bumiputera turut menikmati bersama hasil kekayaan negara.

"Bagi menjayakan agenda ini, usahawan Bumiputera pula perlu mengubah sikap ke arah yang lebih positif dan dinamik serta berminat untuk menambah ilmu dalam pelbagai aspek pengurusan perniagaan. Ini kerana dalam era ekonomi berasaskan pengetahuan (k-economy) pada hari ini, hanya mereka yang berpengetahuan dan bermaklumat sahaja yang boleh maju dan berjaya” katanya.


PESERTA...Antara para peserta yang menyertai kursus tersebut

Tambah Rosnah, usahawan bumiputera dalam apa sahaja bidang perniagaan yang diceburi perlu berubah sikap dengan menjadikan teknologi sebagai faktor persaingan.

Katanya, hanya dengan meningkatkan produktiviti serta penambahbaikan produk dengan mengguna pakai teknologi terkini usahawan bumiputera mampu bersaing 

“Usahawan Bumiputera perlu mengambil kesempatan serta bersikap proaktif dan menimba ilmu pengetuhan untuk  memanfaatkan hasil-hasil Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)  yang dilakukan oleh jabatan dan agensi kerajaan seperti MARDI,SIRIM dan lain lain” katanya. 

Mengulas program tersebut Rosnah Berkata,ianya menjadi medan terbaik untuk untuk melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan kaum bumiputera sekaligus menyumbang ke arah mewujudkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB), seperti yang telah digariskan di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB).

No comments:

Post a Comment