MESRA Razak bersalaman dengan pemimpin akar umbi Umno sejurus tiba di majlis tersebut
SEMPORNA: Ahli Umno perlu teruskan mengamalkan solidariti, persepakatan serta semangat kerjasama sesama mereka jika mahu Umno kekal menjadi tampuk pimpinan Negara.
Ketua Penerangan Umno Bahagian Semporna, Dato Razak Tun Sakaran berkata, pemimpin dan ahli Umno di peringkat akar umbi perlu menguatkan parti dan berjuang bersama pemimpin demi bangsa, agama dan negara.
Menurut beliau, asas memperkuatkan parti adalah perpaduan dalam kalangan ahli sendiri dan segala permasalahan yang ada haruslah diselesaikan secara dalaman.
“Sekiranya permasalahan dalaman dibawa hingga ke luar parti maka tidak mustahil akan ada pihak yang tidak bertanggungjawab menangguk di air keruh mengambil kesempatan merosakkan perpaduan dan parti” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat berkelompok 6 Cawangan UMNO bagi Zon Sisipan dekat sini kelmarin.
Razak yang juga Setiausaha Politik Menteri Kemajuan Luar Bandar berkata, tunggak utama bagi mempastikan Umno kekal relevan dan menjadi peneraju utama kerajaan Barisan nasional adalah melalui kesepakatan dalam menghadapi segala krisis segala dalaman.
“Ketika ini kita berhadapan dengan pelbagai isu dan pihak pembangkang pula turut mengambil kesempatan, justeru menjadi tanggungjawab kita untuk terus bersatu dan segala yang melibatkan isu yang melanda parti kita serahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan tertinggi untuk menyelasaikanya” katanya
Tambah Razak, sejak penubuhan Umno pada 1946, parti itu melalui pelbagai liku yang penuh cabaran dan dugaan namun, semangat kental para pemimpin yang ikhlas serta kesatuan anggota yang setia telah mengekalkan kekuasaannya hingga sekarang.
“Percakaran kita sebagai ahli parti akan memudahkan musuh menjatuhkan Umno dan menguasai Negara, dan lebih membimbangkan anak anak muda akan menjauhkan diri dari Umno sedangkan mereka adalah pemimpin pelapis bagi meneruskan kesinambungan parti mebela bangsa agama dan Negara” Tegas Razak.
SOKONGAN..Antara ahli-ahli Umno zon Sisipan yang hadir ke mesyuarat tersebut
Mengulas mesyuarat cawangan cawangan Umno yang sedang berlangsung rancak di seluruh bahagian ketika ini, Razak meminta ahli parti agar menjadikan mesyuarat cawangan sebagai medan memantapkan parti bagi memberikan idea yang membina untuk memperkuatkan parti dan membela kepentingan ahli.
“Jadikan mesyuarat ini sebagai wadah perbincangan positif bagi mencari rumusan terbaik untuk parti dan ahli bukan sekadar tempat melontarkan kritikan dan teguran tanpa idea yang membina” katanya.
No comments:
Post a Comment