Thursday, 16 April 2015

LIGS Terus Bela Nasib Penoreh Getah di Sabah




HARRIS (kanan) menerima cenderakenangan daripada Peter sambil disaksikan oleh Lawrence (kiri).

KOTA KINABALU: Pekebun getah khususnya penoreh di negeri ini dijangka hanya akan menikmati peningkatan harga dengan meningkatkan kualiti komoditi itu.


Pengurus Besar Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) Datuk Harris Mathews, berkata, masalah berkaitan kualiti merupakan antara faktor yang menyebabkan nilai getah asli di negeri ini lebih rendah berbanding harga dinikmati penoreh di negeri lain di Semenanjung.

Difahamkan purata kandungan getah kering untuk getah kepingan tidak diasap di Sabah adalah sekitar 68 hingga 70 peratus sahaja, yang mana menyukarkan usaha menyeragamkan harga getah mentah seperti lateks, kepingan tidak diasap, kentalan serta sekerap antara Sabah dengan Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Faktor lain yang turut menyumbang kepada masalah ini adalah berkaitan kos pengangkutan tambahan; produk getah dari Sabah perlu dihantar ke Pelabuhan Klang sebelum dieksport, kos pemprosesan getah yang lebih tinggi di Sabah dan kos perkhidmatan untuk pembelian getah, jelas beliau.

“Selain itu, kejatuhan harga getah turut dipengaruhi oleh penurunan permintaan dari negara-negara pengeksport,” katanya.


UNTUK ALBUM .... Peter dan para Ahli Majlis Tertinggi PANSA mengabadikan kenangan bersama Harris dan para pegawai LIGS.


Harris berkata demikian ketika memberi taklimat dalam sesi perbincangan bersama ahli-ahli Majlis Tertinggi Persatuan Anak Negeri Sabah (PANSA) yang membuat kunjungan ke Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Wisma Pertanian Sabah, dekat sini baru-baru ini.

Rombongan PANSA diketuai oleh Presidennya Peter Gibin turut disertai antaranya Timbalan Presiden I Lawrence Sapitan, Timbalan Presiden II Biung Gibin dan Presiden Persatuan Tombonuo Sabah yang juga Ketua Biro Pansa Pitas Ahkian Akiew.

Turut hadir pegawai-pegawai kanan LIGS dan Setiausaha Politik Menteri Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Ewon Benedict.

Pada kunjungan itu, PANSA menyuarakan beberapa perkara berkaitan permasalahan dihadapi pekebun-pekebun kecil getah khususnya kalangan Anak Negeri membabitkan antaranya harga rendah serta sistem penyampaian insentif yang didakwa tidak menyeluruh di samping mengemukakan beberapa cadangan dari pihak persatuan.

Jelas Harris, kualiti getah mempengaruhi harga dimana nilainya lebih tinggi sekiranya dihasilkan mengikut spesifikasi ditetapkan.

Malangnya jelas beliau, terdapat segelintir penoreh yang bukan sahaja mengabaikan kualiti malah sengaja mencemarkan hasil getah mereka dengan merendam kepingan malah lebih teruk mencampurkan getah dengan pelbagai benda asing termasuk batu dan pasir.

“Tindakan segelintir penoreh yang tidak jujur ini mengakibatkan kesemua penoreh menanggung kesan apabila mutu getah mereka dikategorikan sebagai bergred rendah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap tindakan mencemarkan getah dielakkan demi menjamin kualiti hasil mereka di tahap yang memuaskan.

Turut dijelaskan, LIGS telah memberi pelbagai latihan khususnya kepada pekebun getah menyertai skim kelolaan lembaga itu.

Walau bagaimana pun, pekebun kecil persendirian dan mereka yang menyewakan kebun mereka tidak terlibat dalam latihan yang dilaksanakan.

Harris juga memberitahu, pekebun yang menjual getah turut mendapat tambahan harga sekiranya menghantar sendiri hasil mereka ke kilang terdekat milik LIGS. 

Setakat ini, terdapat tiga kilang milik LIGS beroperasi di negeri ini iaitu di daerah Tuaran, Tenom dan Beaufort.

Mengenai bantuan RM500 kepada pekebun kecil getah, LIGS menjelaskan lembaga itu tidak terlibat dalam proses kelulusan mahupun pengagihan insentif berkenaan kerana dilaksanakan oleh sebuah agensi Persekutuan.

“LIGS hanya terlibat membantu menyampaikan borang kepada para pekebun atas dasar keprihatinan kami kepada mereka dan memudahkan pekebun membuat permohonan,” jelas beliau.

Harris juga menjelaskan kesukaran untuk membuka kilang berkaitan produk hiliran bagi getah umpamanya kilang tayar di Sabah kerana semua keperluan lain terpaksa diimport dari luar.

“Kita hanya memiliki getah mentah iaitu asas tetapi untuk membuat tayar, kita memerlukan beberapa bahan lain sebagai campuran di mana kita tidak mengeluarkannya di negeri ini,” jelas beliau.

Sementara itu, PANSA yang diwakili Lawrence selaku jurucakap berkata, persatuan itu akan memberi kerjasama dalam penyampaian maklumat kepada para pekebun kecil getah.

Beliau juga menjelaskan, antara lain tujuan kunjungan berkenaan adalah untuk menyampaikan hasrat keseluruhan Anak Negeri yang majoritinya hidup sebagai petani dan mengusahakan kebun getah sebagai sumber ekonomi mahu agar LIGS terus relevan sebagai agensi yang membela mereka.

Peter apabila diminta mengulas kunjungan itu berharap, LIGS dapat mencari jalan terbaik demi kebajikan seluruh pekebun kecil getah di negeri ini.

“Walaupun kebanyakan persoalan dalam perbincangan singkat semasa kunjungan itu dijawab, tentunya masih terdapat ruang untuk meningkatkan lagi perkhidmatan kepada para pekebun getah.

“Perkara lain juga perlu dipertimbangkan antaranya bagaimana supaya negeri ini dapat mengeksport terus hasil getah yang boleh mengelakkan kos tambahan lain,” tegas beliau.


No comments:

Post a Comment