Oleh: CHANG SHAK HUNG
SETELAH hampir sebulan ‘Detailed Environment Impact Assessment’ (DEIA) yang diumumkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) menolak pembinaan janakuasa elektrik arang batu berkapasiti 300MW di Lahad Datu, namun sehingga ke hari ini, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak menunjukkan kesungguhan dalam mencari alternatif yang lain dalam menangani masalah gangguan bekalan elektrik di Sabah terutamanya di kawasan timur seperti Sandakan, Lahad Datu dan Tawau.
Lebih mendukacitakan adalah pihak Lahad Datu Energy Sdn Bhd diminta supaya membuat rayuan terhadap pengumuman laporan yang dikeluarkan oleh JAS berkenaan.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa SESB tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan kepentingan SESB dikuasai oleh TNB sebanyak 80%, dan TNB sanggup berbuat apa termasuklah membuat rayuan sungguhpun laporan berkenaan dianggap mereka sebagai laporan yang tidak muktamad dan mampu untuk dirayu.
Untuk pengetahuan umum, TNB merupakan sebuah anak syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLC) yang mana bertapak di Semenanjung Malaysia.
Perlu diingat, bahawa gangguan bekalan elektrik yang terdapat di Sabah terutamanya di Sandakan masih berada di tahap yang membimbangkan. Pihak ahli politik di Sandakan, terutamanya mereka yang kononnya mengutamakan dan melaungkan untuk membantu penduduk Sandakan dalam apa jua konteks, hanya menaburkan janji-janji kosong. Ini adalah kerana bekalan elektrik, air dan kemudahan infrastruktur merupakan isu utama yang masih membelenggu penduduk di Sabah terutamanya di Sandakan.
Adakah TNB sedar bahawa masalah bekalan elektrik yang membelenggu Sandakan masih di tahap yang serius? Sungguhpun janakuasa terpakai yang diletakkan di Sandakan dan Tawau, yang kononnya mampu mengurangkan masalah kekurangan bekalan elektrik, namun pernahkah TNB yang telah mengaut keuntungan sebanyak 80% turun padang untuk meninjau keadaan yang berlaku di Sandakan ini?
Sepanjang sambutan Hari Raya sejak 10 September 2010, kejadian gangguan bekalan elektrik masih menjadi igauan ngeri kepada penduduk Sandakan. Antaranya adalah seorang kakitangan kerajaan yang menetap di Batu 6 yang sedang menyediakan makanan untuk sambutan Hari Raya pada malam pertama, berhadapan dengan gangguan pada pukul 10.30 malam.
Selain itu juga, seorang pengadu yang menetap di Batu 4, mengadu tentang masalah gangguan berlaku pada pukul 9 malam Hari Raya yang kedua dan ketiga. Bukan itu sahaja, seorang guru yang menetap di Taman Grandview, melaporkan bahawa gangguan berlaku kira-kira jam 9 pagi dan ini tidak memberi keselesaan kepada rakan dan saudara yang berkunjung ke rumah guru tersebut.
Untuk yang demikian, adakah TNB sedar bahawa SESB melalui laman sesawangnya www.sesb.com.my telah menyenaraikan kawasan atau daerah yang akan mengalami gangguan bekalan elektrik setiap hari?
Di dalam negeri manakah di Malaysia yang berhadapan dengan masalah yang seumpana ini yang begitu teruk dan tidak terkata lagi seperti yang dihadapi oleh penduduk di Sabah ini?
Para pembaca bolehlah melayari laman sesawang berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan gangguan tersebut supaya dapat bersiap-sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan terutamanya semasa hendak membuat sesuatu persiapan yang penting dan mustahak.
No comments:
Post a Comment