Tuesday, 14 September 2010

MARSAH KESAL PERGESERAN MUSA-HAJIJI




Oleh: KREW SABAHKINI.NET

AHLI jawatankuasa UMNO Bahagian Tuaran, Marsah Muyong akan mengisytiharkan untuk tidak memberikan sokongan kepada Ketua Bahagiannya, Datuk Haji Hajiji Haji Noor yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri sekiranya benar dakwaan yang pemimpin itu menghadapi pergeseran politik dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman.

Marsah menyatakan perasaan kecewa sekiranya benar Hajiji selaku Bendahari Perhubungan Umno Negeri telah tidak menghadirkan diri dalam beberapa siri program berbuka puasa dan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri yang dihadiri oleh Musa yang juga Ketua Perhubungan UMNO Sabah oleh kerana tidak lagi mempunyai persefahaman dalam beberapa perkara mengenai politik dalaman Umno Sabah.

"Sebagai pemimpin UMNO di peringkat bahagian, saya sesungguhnya amat kecewa jika pergeseran politik kedua pemimpin tertinggi UMNO negeri ini benar-benar berlaku, kerana kami selaku penyokong UMNO mengharapkan kestabilan politik yang dapat memperjuangkan nasib bangsa, agama dan negara sejajar dengan keujudan UMNO itu sendiri," kata Marsah yang juga Bekas Ketua Daerah Mengundi Kawasan Indai di Sulaman.

Beliau berharap kepada Hajiji selaku Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Sulaman agar tidak meneruskan penentangan terhadap kepimpinan Musa yang telah jelas terbukti banyak memberikan kebaikan dan pembelaan terhadap kemajuan rakyat di negeri ini.

"Sebagai penyokong UMNO, saya terpanggil untuk menyatakan pendirian menyokong penuh kepimpinan Musa dan menganggap tindakan Hajiji bukanlah mencerminkan kehendak ahli-ahli UMNO Bahagian Tuaran pada keseluruhannya. Jika benar Hajiji mempunyai agenda politiknya sendiri, maka beliau perlulah menunggu masa dan ketika lebih sesuai tetapi bukan melakukan penentangan terbuka terhadap Musa dengan memboikot program yang dihadiri pemimpin nombor satu Sabah itu," kata Marsah lagi.

Marsah meminta Hajiji agar berpandu kepada peringatan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta mana-mana pemimpin kerajaan yang ingin menyuarakan ketidakpuasan hati mereka mengenai politik dalaman agar menyelesaikan masalah politik melalui saluran tertentu, termasuklah mengadakan perbincangan dari hati ke hati.

Tindakan Hajiji tidak menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Haji Abdul Rahman Datuk Dahlan yang juga Setiausaha Barisan Nasional (BN) Sabah pada hari raya ketiga yang dihadiri Musa selaku Ketua BN Sabah, menunjukkan satu sikap kurang sopan kepada ahli-ahli UMNO di Tuaran.

No comments:

Post a Comment