Saturday, 25 September 2010

SIAPA DALANG 4-EKOR HARAM DI MEMBAKUT?



Saudara Pengarang,

Saya ingin menarik perhatian tuan berkaitan masalah penjualan nombor empat ekor haram yang sangat berleluasa di Membakut sejak sekian lama.

Kegiatan ini dilakukan secara terang-terangan yang didalangi oleh beberapa individu. Mereka juga mempunyai wakil penjual yang berkeliaran di sekitar Membakut untuk memudahkan pelanggan mereka membeli nombor.

Dengan itu, pelanggan mereka tidak perlu ke mana-mana untuk membeli nombor kerana wakil penjual yang akan mencari mereka. Wakil penjual tersebut akan pergi ke setiap pejabat jabatan kerajaan yang terdapat di Membakut.

Wakil penjual ini pula mempunyai penampilan yang sangat selekeh, dengan berbaju kemeja dan berseluar pendek bertujuan mengelirukan pihak berkuasa sekiranya terdapat operasi.

Mereka hanya berbekalkan telefon bimbit untuk menghubungi pelanggan mereka, buku nota kecil dan pen untuk menulis nombor-nombor yang telah dibeli oleh pelanggan mereka.

Setiap nombor dijual dengan harga RM1 berbanding dengan nombor yang dijual secara sah yang dikenakan cukai oleh kerajaan.

Saya perhatikan pihak polis di Membakut ini seolah-olah menutup mata sahaja ke atas masalah ini. Atas sebab itu, saya tercari-cari di manakah saluran untuk saya mengutarakan isu ini. Akhirnya saya bertemu dengan ‘Sabahkini.net.’

Saya sedia memberi maklumat berkaitan masalah ini kepada tuan. Saya tidak mahu terus melihat penduduk Membakut menjadi tahi judi. Saya juga tidak selesa pejabat saya dikunjungi oleh wakil penjual nombor empat ekor kerana rata-rata rakan-rakan sekerja saya sudah menjadi pelanggan tetap mereka.

Sekian dan terima kasih.

ANTI-JUDI.

No comments:

Post a Comment