Monday, 27 September 2010

SIAPA HALANG ZAID BERTANDING?


(Petikan Mingguan Malaysia)

‘‘DALAM parti kita perlu berbaik-baik dan tidak perlu berkelahi hanya kerana berbeza pendapat. Hendak kata saya tidak setia, jual parti, pengkhianat dan sebagainya tidak perlulah. Cakap dan pilih sahaja siapa yang lebih baik daripada saya, cukuplah.’’

Kata-kata yang dilafazkan oleh DATUK ZAID IBRAHIM cukup mendalam maksudnya. Keputusan beliau untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), apatah lagi terpaksa bertembung Azmin Ali yang merupakan orang kesayangan Datuk Seri Anwar Ibrahim seolah-olah tidak begitu direstui kepada kelompok yang menyebelahi kedua-dua pemimpin berkenaan.

Kesudahannya Zaid diserang habis-habisan. Daripada seorang yang dianggap wira apabila membuat keputusan menyertai PKR kini Zaid dituduh macam-macam termasuk pengkhianat.

Tetapi dalam wawancara dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR, MOHD. ASRON MUSTAPHA dan HAFIZAHRIL HAMID, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak peduli apa pun orang kata. Sebaliknya beliau percaya kepada kebijaksanaan ahli-ahli membuat keputusan. Dalam wawancara hampir sejam itu juga Zaid menjawab segala persoalan termasuklah dakwaan beliau disokong oleh Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah serta pandangan mengenai Anwar dan Azmin.

MINGGUAN: Ramai mempertikaikan kenapa Datuk hendak bertanding walaupun tidak sampai setahun masuk PKR?

ZAID: Kalau kita tidak mahu orang bertanding buatlah peraturan. Bila parti kata sesiapa boleh bertanding maka tidak ada sesiapa boleh mengungkit perkara itu. Sama ada layak jadi ketua atau tidak itu ahli yang menentukan.

Tetapi jika melihat kepada tindakan sesetengah pemimpin yang buat taat setia kepada Azmin tidakkah ini bermaksud Datuk tidak dialu-alukan?

ZAID: Kalau kita ada blok atau kumpulan dalam parti, ini yang menyebabkan pemilihan tidak sihat. Masa berkempen, terangkanlah kenapa calon mereka lebih baik. Tidak perlu cakap orang ini tidak baik, tindakan itu hanya merosakkan parti. Saya tak tahulah mungkin perancangan atau strategi tapi ia sesuatu yang tidak sihat.

Tapi Datuk tidak kecewa kerana di Hulu Selangor Datuk disanjung sebagai calon terbaik, kini bila hendak bertanding jawatan dalam parti Datuk diserang?

ZAID: Bagi saya ia agak pelik. Masa saya masuk dahulu dianggap sebagai wira, berprinsip, berani dan sebagainya. Tapi sekarang ia sudah jadi terbalik pula. Hendak kata saya kecewa itu tidaklah kerana saya dalam politik sudah lama. Ini menjadikan saya lebih faham tentang kerenah politik tidak kira dalam parti mana pun.

Sejauh mana kebenaran tentang wujudnya kumpulan-kumpulan dalam pemilihan PKR kali ini?

ZAID: Saya sebenarnya tidak tahu secara sahih, ia hanya percakapan orang. Setakat ini tidak ada orang menyokong saya secara terbuka. Saya juga tidak tahu sama ada Azmin disokong oleh Anwar secara terbuka.

Pada saya perkara ini tidak begitu penting sangat kerana dalam politik sokongan yang nampak jelas pun tipu juga, yang tidak cakap apa-apa pun sokong kita. Saya tidak terlalu bimbang dari segi wayang atau permainan ini kerana yang lebih penting ahli- ahli faham apa isu di dalam pemilihan ini.

Apa yang mendorong Datuk untuk bertanding?

ZAID: Sebenarnya ada tiga perkara pokok yang saya mahu ketengahkan kenapa saya menawarkan diri.

Pertama, gerakan reformasi yang diasaskan pada 1998 berkisar kepada isu-isu ketika itu iaitu apa yang berlaku kepada Anwar. Semua ini menjadi sebab utama kenapa parti ini ditubuhkan.

Tapi itu lebih 10 tahun dahulu, namun hari ini PKR menjadi ketua Pakatan Rakyat. Jika kita mahu terus menjadi ketua, kita juga mesti menjadi parti yang lebih kuat, keahlian lebih mantap serta dasarnya lebih jelas. Saya melihat setakat hari ini PKR belum dalam keadaan itu. Oleh itu saya rasa parti ini perlu melangkah ke satu tahap baru. Saya tidak suka parti ini menjadi pembangkang semata-mata. Saya tidak menganggap politik sebagai satu permusuhan, sebaliknya satu cara menyuarakan pendapat. Dasar kita mungkin berbeza dengan dasar kerajaan tetapi ia perlu berkisar kepada keperluan rakyat. Jangan hanya kerana perbezaan pendekatan kita perlu menjadi musuh.

Pendekatan saya adalah dalam dasar, dan saya lebih suka parti ini menyuarakan ketidakpuasan terhadap kerajaan dan pada masa yang sama menyuarakan pandangan atau dasar yang lebih konkrit.

Pendekatan begini bagi saya adalah lebih sesuai. Bila rakyat kata perubahan, ia adalah kepada dasar kerajaan, kehidupan mereka dan bukan perubahan ketua. Rakyat mahu melihat penyelesaian masalah negara. Bagi saya parti ini akan menjadi lebih kemas dan tersusun jika pendekatan itu diambil.

Keduanya, dalam kita menyediakan dasar ini, bagi pihak pembangkang ia lebih mencabar kerana ia adalah pakatan baharu Sebab itu ia lebih memerlukan kita tumpukan kepada dasar yang jelas supaya rakyat tidak mengatakan ia hanya sebuah rakan kongsi untuk menang pilihan raya. Kita harus menyelesaikan perbezaan yang wujud.

Bagi saya inilah peranan yang perlu dimainkan oleh PKR dan saya rasa dalam soal ini saya lebih berkemampuan berbanding calon-calon lain. Kalau ahli-ahli PKR melihat ia penting maka mereka perlu memilih saya dan begitu juga sebaliknya.

Perkara ketiga ialah saya yakin dengan konsep demokrasi dan orang kata saya liberal. Namun bagi saya liberal itu tidak negatif sebenarnya dan saya terbuka dalam banyak hal kerana saya berpandangan politik di negara ini tidak boleh dogmatik atau terlalu rigid. Ini adalah kerana sejarah dan kepelbagaian kaum di negara kita.

Maka pemimpin yang terlalu keras saya rasa tidak sesuai. Contohnya orang ini boleh, orang ini tidak boleh. Ataupun India tidak boleh orang Cina boleh atau orang Melayu sahaja yang boleh. Saya tidak boleh terima begitu. Maka saya rasa lebih sesuai PKR yang tidak tertumpu kepada satu-satu kaum dan kedudukan. Maka ia mencerminkan negara kita yang mana liberal pun ada, ortodoks pun ada. Ini adalah sesuai untuk demokrasi di negara ini. Namun ia tidak sesuai untuk negara jika parti sendiri tidak bersedia mencuba pendekatan itu.

Adakah Datuk yakin visi ini mampu diterima oleh ahli-ahli PKR?

ZAID: Mesti ada dua pandangan berbeza dalam hal ini. Saya sebenarnya tidak bimbang dengan apa orang kata kerana percaya apa yang saya perkatakan bukan sesuatu yang rumit untuk difahami. Ahli PKR perlu lihat apakah parti mereka ini kuat, tersusun dan cergas.

Namun ke mana-mana saya pergi orang akan kata PKR lebih lemah daripada Pas dan DAP, malah duit pun tidak ada. Saya dengar PKR tidak sebegitu hebat seperti yang digambarkan. Jadi saya rasa jika ahli hendak perubahan maka mereka perlu memberi peluang pada saya, mana tahu masalah ini akan selesai. Tetapi jika ahli puas hati kepada Azmin atau sesiapa yang bertanding maka pilihlah mereka, tidak ada masalah dan terpulang kepada ahli.

Datuk ada menulis di dalam blog bagaimana mahu memperkasakan Presiden. Jika dilihat Presiden PKR tidak ada kuasa?

ZAID: Kita berhadapan dengan satu keadaan yang unik di mana orang yang benar-benar berkuasa (Anwar) tidak ada jawatan. Saya merasakan kita faham sejarah bahawa beliau pernah masuk penjara dan tidak boleh pegang jawatan. Tapi itu pada 2007, namun masa itu beliau cuba bertanding cuma pada saat-saat akhir beliau tarik diri dan ketika itu Rahman Osman hendak melawan beliau. Oleh itu Anwar pernah cuba untuk bertanding namun ketika itu beliau tidak layak memegang jawatan kerana kes itu.

Namun sekarang ini Anwar sudah layak jadi saya hormati jika dia tidak mahu memegang jawatan. Saya tidak kata orang yang tidak ada jawatan tidak ada sumbangan dan saya tidak kata beliau terpaksa bertanding. Cuma saya kata Presiden ketika ini adalah Wan Azizah, maka beliaulah yang kita perlu hormati, memberi arahan dan membuat keputusan.

Kita tidak boleh kata hanya kerana kenal baik dengan Ketua Umum maka keputusan mesti datang daripada Ketua Umum. Ini kerana PKR tidak boleh lain daripada parti lain. Kita kena ikut struktur parti. Maka jika saya menang jawatan timbalan, saya lihat boleh merubah keadaan dengan erti kata lain, saya percaya Presiden perlu dihormati dan keputusan perlu datang daripadanya.

Tentang sumbangan Anwar, kita perlu hargai kerana beliau adalah pengasas dan orang yang terkenal namun tetap tidak boleh melebihi Presiden parti. Itu yang saya maksudkan.

Anwar sudah mendapat lapan pencalonan dan ia melayakkan beliau bertanding. Apa yang Datuk lihat tersirat di sebalik pencalonan itu?

ZAID: Maksudnya ramai yang berfikiran seperti saya, mereka merasakan Anwar perlu menjadi ketua, maka adalah wajar beliau menjadi Presiden. Kesetiaan saya bukan kepada orang tetapi kepada jawatan itu. Tapi jika beliau kata tidak mahu bertanding maka Wan Azizah sebagai Presiden perlu benar-benar berkuasa. Kita tidak boleh memegang kedua-dua jawatan sekali gus atau kita hendak kuasa tetapi tak nak tanggungjawab. Di cabang-cabang dan ahli-ahli bertanya kenapa perkara ini berlaku. Namun saya merasakan mungkin beliau (Anwar) akan bertanding walaupun menyatakan tidak mahu bertanding. Ini kerana sebagai pemimpin, kita perlu mendengar pandangan dari cabang.

Ketika di dalam UMNO Datuk sering mengkritik tentang soal pemilihan dan pencalonan. Namun kini di dalam PKR yang Datuk kata lebih demokratik berlaku situasi lebih buruk lagi?

ZAID: Di Malaysia proses perubahan perlu dilalui secara berperingkat-peringkat. Benda yang tidak betul tetap tidak betul. Saya tidak kira UMNO, Pas dan sebagainya. Itu politik saya dan ia tidak menjamin kejayaan dari segi jawatan. Namun saya tidak peduli itu semua. Kita main politik ada banyak sebab, ada yang berpolitik sebab mahu jadi Perdana Menteri. Ada yang mahu jadi kaya.

Namun bagi saya jika dapat menyuarakan apa yang saya rasa itu sudah cukup. Jika saya rasakan sesuatu dasar itu tidak demokratik, atau tidak sesuai, saya akan bersuara. Mungkin orang akan anggap saya sebagai pengacau namun pada saya asalkan ia mampu membuat perubahan, saya berpuas hati. Dalam PKR, saya melihat ada unsur-unsur geng dan ia sesuatu yang tidak sihat. Ini kerana dalam parti, kita perlu berbaik-baik dan tidak perlu berkelahi hanya kerana berbeza pendapat. Hendak kata saya tidak setia, jual parti, pengkhianat dan sebagainya tidak perlulah. Cakap dan pilih sahaja siapa yang lebih baik daripada saya, cukuplah.

No comments:

Post a Comment