Oleh: MOHD YATIM SUHAILI
WALAUPUN Kerajaan Malaysia telah memberi jaminan untuk memastikan Dasar Langit Terbuka sepenuhnya dengan pengenalan Koridor Raya Multimedia sehingga tertubuhnya Putrajaya dan Cyberjaya; namun Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media bertindak sebaliknya dengan melakukan hukum rimba, ‘pancung dahulu, baru bicara!’
Editor Sabahkini.net, Mutalib M.D ketika menghubungi Editorial daripada luar Negara sebentar tadi, bahawa SKMM telah mengeluarkan notis agar ‘Hosting’ Sabahkini.net menutup Portal Sabahkini.net kerana melanggar Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multi Media 1998.
“Siapa beri kuasa kepada SKMM untuk menyalahgunakan kuasa menutup Sabahkini.net tanpa melalui perintah Mahkamah? Apakah mereka boleh memijak Perlembagaan Persekutuan semata-mata untuk melindungi pihak tertentu?,” soal Mutalib yang mengharapkan agar SKMM menjalankan tugas sesuai dengan konsep yang diinginkan Kerajaan 1Malaysia.
Menurut Surat yang diterima daripada SKMM bil SKMM (T) 09-STGD/800/Jld. 13 bertarikh 30 September 2010, pihak SKMM menerima banyak aduan bahawa Sabahkini.net menyiarkan artikel yang mempunyai unsur hasutan dan larangan.
Setelah menjalankan kajian, SKMM mendapati bahawa Sabahkini.net telah melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menerbitkan artikel berunsur provokasi dan terlarang.
Sehubungan itu, SKMM telah mengarahkan Hosting Sabahkini.net ditamatkan perkhidmatannya. Surat berkenaan ditandatangani oleh Pengarah Siasatan, Mazlan Othman.
Kata Mutalib, sewajarnya SKMM mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada pihak Editorial dan meminta Editorial menarik balik mana-mana artikel yang melanggar Akta tanpa dibuktikan di mahkamah.
“Siapa bayar Mazlan untuk bertindak ke atas Sabahkini.net tanpa menurut Undang-Undang yang digubal di parlimen?,” tanya Mutalib yang meminta agar Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Rais Yatim campurtangan kerana sekatan terhadap satu-satunya media rakyat akan membuatkan rakyat Sabah kehilangan wadah untuk menyalurkan maklumat.
Dalam hubungan ini, kata Mutalib, beliau mengalu-alukan siasatan SKMM asalkan tidak menjurus kepada menyekat kebebasan media internet semata-mata kerana mendedahkan rahsia pemimpin kerajaan; apatah lagi jika sekatan SKMM hanya tertumpu kepada Sabahkini.net dan langsung tidak mengawal laman porno dan laman penipuan yang semakin banyak di Malaysia.
“Jika Sabahkini.net menyiarkan sesuatu yang bercanggah dengan undang-undang, SKMM atau polis sewajarnya melakukan siasatan menurut SOP yang diluluskan kerajaan tanpa wujudnya salahguna kuasa atau unsur rasuah setelah percubaan penggodam selama ini gagal memusnahkan Sabahkini.net,” ujar Mutalib lagi.
Kata Mutalib, beliau tidak mempunyai masalah untuk menutup Sabahkini.net kerana boleh membuka lebih 1,000 laman web baru dalam masa sehari; namun biarlah tindakan SKMM melalui saluran yang betul dan benar-benar menurut lunas dan prinsip Perlembagaan Persekutuan.
Mutalib turut mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Pengarah Siasatan SKMM, Mazlan Othman kerana tindakan ‘luar tabii’ tersebut mungkin didorong oleh pihak tertentu terutama Michael Chia Tien Foh yang mengupah penggodam antarabangsa menggodam Sabahkini.net setiap hari.
“Sepanjang pengetahuan dan analisa saya, Sabahkini.net tidak pernah melakukan sesuatu tindakan atau menyiarkan sesuatu artikel di Bawah Akta Hasutan atau boleh mencetuskan permusuhan kaum dan membahayakan Negara, malah Sabahkini.net telah menjadi media untuk rakyat berkomunikasi dengan Kerajaan dan setakat ini Perdana Menteri senang dengan siaran Sabahkini.net yang mendukung slogan 1Malaysia,” ujar Mutalib yang kesal kerana Mazlan bertindak melebihi Perdana Menteri.
Lanjutan daripada itu, Mutalib meminta agar SKMM mengeluarkan surat tunjuk sebab atau amaran bertulis kepada Sabahkini.net melalui email atau media untuk mematuhi garis panduan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa dan bukannya menghukum ‘Hosting’ yang tidak berdosa.
Menurut siasatan Sabahkini.net, Seksyen 233 AKMM menyatakan bahawa Penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, dll.
(1) Seseorang yang
(a) dengan menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar
(i) membuat, mewujudkan atau meminta-minta; dan
(ii) memulakan penghantaran,
apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain; atau
(b) memulakan suatu komunikasi dengan menggunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi, sama ada secara berterusan, berulang kali atau selainnya, dan dalam masa itu komunikasi mungkin atau tidak mungkin berlaku, dengan atau tanpa mendedahkan identitinya dan dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu mana-mana orang di mana-mana nombor atau alamat elektronik,
adalah melakukan suatu kesalahan
(2) Seseorang yang secara sedar
(a) dengan menggunakan suatu perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi memberikan apa-apa komunikasi lucah bagi maksud komersial kepada mana-mana orang; atau
(b) membenarkan suatu perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi di bawah kawalan orang itu untuk digunakan bagi suatu aktiviti yang diperihalkan dalam perenggan (a),
adalah melakukan suatu kesalahan.
(3) Seseorang yang melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen ini apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya satu ribu ringgit bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
No comments:
Post a Comment