Tuesday, 14 September 2010

BURUH MPS KURANG PRIHATIN




TERBIAR…Beginilah keadaan tanah perkuburan Islam Nunuyan Darat, Jalan Aman yang tidak terurus oleh pihak yang berkenaan sehingga digelar pusat pembiakan ular sawa.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

RAMAI di kalangan umat Islam yang mengziarahi kuburan ibu, bapa dan sanak saudara pada hari raya pertama dan kedua rasa terkejut apabila melihat banyak pokok kayu besar tumbang dan kemudian menghempap serta merosakkan banyak batu nisan dan kuburan.

Ekoran daripada insiden itu, telah menimbulkan kemarahan para pewaris terhadap buruh Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) yang menjalankan kerja-kerja memotong batang pokok hanya sekadar, melepas batuk di tangga sahaja.

Krew Sabahkini.net dapat melihat kerosakan jelas pada kuburan dan batu nisan setelah menerima aduan para pewaris yang kecewa dengan sikap tidak bertanggung jawab buruh MPS.

“Cuba tengok sendiri, adakah patut mereka memotong hanya ranting kecil sahaja dan tidak mengalihkan batang besar yang menimpa kuburan dan merosakkan batu nisan,” ujar seorang pewaris yang menamakan dirinya sebagai Amat.

Kata Amat, buruh MPS yang melakukan kerja pembersihan sambil lewa seolah-olah tidak peka dengan perasaan para pewaris yang bertungkus lumus membaiki batu nisan dan kuburan yang rosak teruk.

Seorang lagi pewaris yang hanya mahu disebut sebagai Aman, turut kecewa dengan tindakan buruh MPS yang lebih kelihatan sebagai makan gaji buta.

“Kita hairan kenapa tanah perkuburan Kristian dan kuburan Cina begitu bersih sehingga duit lima sen, kalau jatuhpun, masih boleh dikutip. Tetapi kalau tanah kuburan Islam, persis tempat pembiakan ular sawa dan ular tedung. Punyalah semak. Bukankah ia di bawah urus tadbir MPS dan Majlis Ugama Islam (MIUS)? Ke mana perginya peruntukan setiap tahun yang diberikan oleh kerajaan itu? ” tanya Aman.

No comments:

Post a Comment