Tuesday, 7 September 2010

DR JEFFREY WIRA 'KALAWON' PENSIANGAN



Oleh: MAIL MATHEW

KEMUNCULAN Datuk Dr Jeffrey Gapari Kitingan yang berlegar-legar di kawasan Parlimen Pensiangan yang majoriti penduduknya berketurunan Murut bukan penghalang bagi masyarakat itu mendepangkan tangan mengalu-ngalu kedatangan beliau untuk terjun sekali lagi dan bergiat cergas membangunkan kawasan berkenaan yang masih dikategorikan sebagai satu-satunya kawasan termundur di Malaysia.

Kedatangan beliau disifatkan sebagai suatu rahmat dan petunjuk baik kepada rakyat Pensiangan kerana bakal merobah lanskap politik ke arah yang lebih sistematik, mampu melawan arus dalam mempertahankan hak-hak asasi dari terus dinodai dan dicerobohi pihak tertentu yang tidak bertanggung jawab.

Bukan sekadar itu, malah beliau mampu merombak sistem ais pembeku ekonomi yang selama ini masih berstatus pembangunan statik kerana ‘kuasa’ yang ada pada pihak tertentu diagehkan secara tidak seimbang dan lebih menggalas kepada faedah serta keuntungan peribadi sesuatu puak atau kumpulan sahaja; menjadikan rakyat Pensiangan terus tersisih dan tersungkur untuk menerima impak terus arus perdana pembangunan negara.

Meskipun kawasan itu kaya dengan sumber asli yang harus diterokai termasuk menggerakkan eko-pelancongan bagi menjana ekonomi tetapi sehingga ke hari ini rakyat Pensiangan masih berada di paras kemiskinan tegar, pengangguran terus berleluasa dan masalah sosial di kalangan remaja terus menular.

Mungkin juga fenomena sebegini rupa yang menjadikan rakyat Pensiangan memilih formula kelainan sedikit dari kawasan lain kerana rata-rata rakyat di sini memerlukan khidmat bakti pemimpin berpengalaman dan berwawasan seperti Datuk Dr Jeffery sebagai sandaran untuk menerajui kepimpinan selepas ramai pemimpin dari suku Murut yang berketerampilan tetapi sudah bertahun-tahun berhijrah ke parti kerajaan.

Datuk Dr Jeffrey yang terkenal dengan sikap lemah lembut ketika bertutur membincangkan sesuatu perkara, namun tegas pendirian mindanya; senantiasa teguh dalam sesuatu perkara yang dipertahankannya mengakibatkan pemimpin lulusan PhD University Havard Amerika (sebuah Universiti ternama di dunia) pernah merengkok dalam tahanan ISA selama 2 tahun kerana mempertahankan hak asasi rakyat Sabah, sepertimana yang terkandung di dalam 20 Perkara.

Sudah pastilah hasrat nurani beliau ketika menjulang panji-panji PKR yang berpaksikan pendemokrasian tulen dan menuntut hak keadilan rakyat Murut dalam PKR Pensiangan; bagaikan bahang kemenangan dan kecemerlangan sudah dirasainya dan sudahpun terpacak di garisan penamat PRU13 untuk dikutip PKR Pensiangan setelah meninggalkan calon-calon parti kerajaan yang lain.

Sebagai Naib Presiden Kebangsaan PKR, sudah tentu Datuk Dr Jeffrey mempunyai akses yang lebih mudah untuk membangunkan kawasan Pensiangan apabila PKR Pusat dan negeri membentuk kerajaan baru selepas menumbangkan kerajaan UMNO-BN kelak. Ini bukan perkara khayalan mahupun angan-angan, tetapi adalah suatu kisah benar yang bakal berlaku pada PRU13.

No comments:

Post a Comment