RAMPAS....Janathan
(tengah) dan Hamzah (kanan) menunjukkan antara mercun yang dirampas dalam
serbuan berkenaan.
Oleh : RUZAINI ZULKIFLI & NURSYAHRINA MATBEH
KOTA KINABALU: Jabatan
Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di sini berjaya merampas 10,529 paket mercun dan
bunga api yang bernilai lebih RM67,000 termasuk cukai pasaran dalam dua serbuan
berasingan di ibu negeri.
Pengarahnya, Dr Janathan
Kandok berkata dalam rampasan berkenaan, pihaknya turut merampas 240 kotak
mercun mancis yang tertera logo 1Malaysia.
Menurutnya, taktik berkenaan
disifatkan untuk mengabui mata orang ramai bahawa mercun yang dijual RM40
sekotak itu adalah berasal dari negara ini serta didakwa sah dari segi
penjualannya.
“Kita fahamkan bahawa mereka
menggunakan taktik itu untuk memanipulasi orang ramai supaya beranggapan
pembungkusan mercun berkenaan adalah dari negara ini.
“Sehubungan itu, kita
menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya akan taktik sedemikian dan kastam
turut mempercayai mercun ini sebenarnya dibungkus luar daripada Malaysia,”
katanya.
Beliau berkata demikian
dalam satu sidang media di Wisma JKDM Sabah di sini kelmarin. Hadir sama
Timbalan Pengarah JKDM Negeri, Hamzah Sundang.
Mengulas lanjut mengenai dua
serbuan berkenaan, Janathan berkata sebanyak 10,529 paket bunga api dan mercun
berjaya dirampas dan dianggarkan mempunyai nilai pasaran semasa berjumlah
RM67,545.50 serta melibatkan cukai sebanyak RM20,086.64.
Menurutnya, menerusi serbuan
pertama, pihaknya berjaya merampas 1,201 paket bunga api dan mercun dengan
nilai pasaran yang boleh mencecah RM12,624 dengan cukai berjumlah RM5,807.04
serta menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 27 tahun.
Bagi kes kedua pada tarikh
yang sama, pihaknya menyerbu sebuah rumah tidak bernombor pada jam 1.30 petang
yang dipercayai memiliki, mengedar dan menjual mercun serta bunga api.
“Seorang lelaki berusia 22
tahun warga tempatan turut ditahan dan JKDM Sabah merampas 9,328 paket bunga
api yang dianggarkan mempunyai nilai pasaran semasa berjumlah RM54,921.50
dengan cukai sebanyak RM14,279.60,” katanya.
Menurut Janathan, kes
terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan tegas
beliau, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah ke
atas sesiapa yang terlibat.
“Jika sabit kesalahan,
mahkamah boleh menjatuhkan hukuman denda minima 10 kali ganda nilai yang
terlibat dan maksima 20 kali ganda nilai terlibat atau penjara tidak lebih tiga
tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. (UB)
No comments:
Post a Comment