PERDANA Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemberian wang Hari Raya berjumlah RM43.2
juta kepada kesemua peneroka Felda.
Najib berkata pemberian ini
sebagai menghargai sumbangan peneroka kepada pembangunan Felda dan membantu
perbelanjaan persiapan Hari Raya mereka.
Beliau berkata kadar ini
terbahagi kepada dua kategori iaitu peneroka bersama Felda dan peneroka yang
tidak bersama Felda.
Katanya 103,597 peneroka
atau 91.9 peratus yang bersama Felda akan menerima RM400 seorang melibatkan
peruntukan berjumlah RM41.4 juta manakala 9,038 orang atau 8.02 peratus
peneroka yang tidak bersama Felda masing-masing menerima RM200 melibatkan
peruntukan berjumlah RM1.8 juta.
"Ini prinsipnya adil.
Dia tak jual buah (hasil) kepada Felda, dia jual di luar, dapat RM200. Yang
jual pada Felda, taat pada Felda, dapat RM400," katanya pada majlis
perasmian Program Rahmat Ramadan peringkat kebangsaan di padang Sekolah
Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya di Sik.
Pemberian wang Hari Raya
kepada peneroka dilaksanakan sejak 2003. Bayaran pada tahun ini bertambah RM0.6
juta atau 1.39 peratus berbanding bayaran tahun 2011 iaitu RM42.6 juta.
Pada majlis itu, Najib turut
mengumumkan sagu hati kepada jawatankuasa masjid di semua Felda berjumlah
RM792,500, peruntukan untuk Program Ihya Ramadan sebanyak RM951,000 dan Program
Ihya Ramadan kawasan Parlimen Felda RM540,000.
"Semua janji kita
tunaikan... itu pun (selaras dengan ajaran) Islam. Walaupun Felda dah disenarai
(di Bursa Malaysia) bantuan yang sebelum ini diberi kita teruskan. Jadi duit
raya tetap kita beri kepada peneroka," katanya.
Hadir sama isteri Najib,
Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri
Chor Chee Heung, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir
Baharom, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Johari
Baharum, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan dan
Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
Dalam kunjungan ke Parlimen
Sik hari ini, Perdana Menteri turut melancarkan program bantuan Kasih Felda
kepada kampung tradisional yang berhampiran kawasan Felda.
Program ini berbentuk
pembaikan rumah uzur yang perlu dinaik taraf.
Di Kedah, sebanyak 1,000
rumah dikenal pasti menerima bantuan sebanyak RM5,000 setiap rumah dengan
jumlah bantuan sebanyak RM5 juta.
Perdana Menteri kemudian
berbuka puasa bersama peneroka Felda dan penduduk di kawasan Parlimen Sik. (Bernama)
No comments:
Post a Comment