KUALA LUMPUR : Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak disenaraikan sebagai seorang daripada 25
pemimpin dunia yang paling aktif berhubungan di Twitter, dalam laporan yang
diterbitkan oleh Burson-Marsteller.
Laporan yang diterbitkan
baru-baru ini, dikenali sebagai Twiplomacy, merupakan kajian pertama
seumpamanya di peringkat global mengenai pemimpin-pemimpin dunia di Twitter.
Laporan itu meletakkan
Presiden Amerika Syarikat Barack Obama sebagai pemimpin dunia yang
perkembangannya paling banyak diikuti di Twitter manakala akaun Najib sebagai
nombor 2 di Asia dan nombor 17 di dunia daripada 254 ketua kerajaan dan negara
dan institusi mereka.
Ia juga menyenaraikan Najib
sebagai pemimpin dunia keenam paling popular yang "tweets properly"
hanya 30 daripada 254 ketua negara dan kerajaan yang sebenarnya menulis entri
mereka sendiri di Twitter.
Najib mula menulis di
Twitter pada 23 Sept, 2008 dan setakat hari ini, beliau mempunyai 767,679
pengikut di Twitter dan menulis 2,675 tweets dan 81 'following'.
Ini menjadikan beliau
setakat ini pemimpin paling popular di Asia di Twitter, per kapita (1 dalam 37)
dan selesa dalam kedudukan 10 terbaik di peringkat global.
Menurut laporan itu, Najib
juga mengikuti perkembangan beberapa pemimpin antarabangsa dan serantau dan
dihubungkan dengan @bluehousekorea, @karimmassimov_e dan @number10gov.
Laporan itu juga menyatakan
Najib ialah antara pemimpin yang cepat memanfaatkan kemudahan Twitter.
"Perdana Menteri
Malaysia Najib Razak aktif berhubung dengan audien beliau. Beliau tweets secara
peribadi dan mendekati setengah juta pengikutnya dengan kuiz dan sweepstakes.
"Sebanyak 17 peratus
daripada tweets beliau ialah perbualan dan termasuk jawapan," menurut
laporan itu yang boleh dilayari di twiplomacy.com.
Mei lepas, beliau
menganjurkan majlis sarapan pagi dengan pengikutnya yang ke-500,000 dan tiga
pengikut Twitter yang lain.
Twiplomacy melaporkan yang
beliau mengabadikan majlis itu dengan memuat naik gambar tetamunya menerusi
Twitpic dan video YouTube.
Najib memanfaatkan teknologi
untuk mendekati secara peribadi seperti menjawab soalan di Facebook dan Twitter
beliau -- baik secara langsung atau sesi soal jawab yang dirancang terlebih
dahulu seperti #TanyaNajib dan 1Malaysia Roundtables.
Beliau juga menganjurkan
majlis dengan rakan online di seluruh negara, yang bermula dengan majlis minum
petang di kediaman rasmi beliau, Seri Perdana dan kemudiannya diperluaskan
kepada majlis pertemuan.
Daripada segi politik dan
kerajaan, Perdana Menteri menggunakan media sosial untuk bertanyakan kepada
rakyat Malaysia bagi mendapatkan sebarang cadangan dan idea untuk Belanjawan
2013 serta input bagi Akta Harmoni Nasional, yang akan menggantikan Akta
Hasutan yang digubal pada zaman penjajah.
Ini disusuli pengumuman oleh
kerajaan pada awal Julai bahawa semua jabatan dan agensi kini perlu mendapatkan
pandangan orang ramai sebelum mencadangkan draf pindaan terhadap undang-undang
sedia ada atau memperkenalkan Rang Undang-Undang baharu.
Platform online MyIdeas
diperkenalkan kepada rakyat untuk mengemukakan idea mereka dengan yang terbaik
dipilih menjadi dasar-dasar kerajaan.
No comments:
Post a Comment