PALSU....Bakri
menunjukkan surat tawaran palsu yang kononnya dikeluarkan oleh pihak AADK
Sabah.
Oleh : RUZAINI ZULKIFLI
KOTA KINABALU: Orang ramai
diminta berwaspada dengan aktiviti penipuan menggunakan taktik menawarkan surat
permohonan jawatan dan temuduga palsu daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan
(AADK) negeri.
Pengarahnya, Bakri Bibi
berkata pihak terbabit mendakwa terdapat pekerjaan kosong sebagai pembimbing
dengan menawarkan gaji sejumlah RM1,400 dan elaun rumah RM450 sebulan yang
sebenarnya tidak wujud.
Malah beliau menegaskan
pihak tidak bertanggungjawab itu turut mempamerkan cop rasmi, logo dan
tandatangan Ketua Pengarah AADK bagi mengaburi mata para pemohon.
“Dalam surat berkenaan, kami
mendapati pihak terbabit menyebut mengenai tawaran bekerja sebagai pembimbing
AADK di cawangan negeri Sabah namun setahu saya, kami tidak pernah mengeluarkan
apa-apa tentang permohonan ini,” katanya.
Menyedari perkara itu dua
hari lepas setelah dimaklum oleh pegawainya, Bakri berkata ia mula terbongkar
apabila terdapat panggilan orang ramai ke pejabat AADK bertanyakan perihal
permohonan berkenaan.
Pihaknya lalu bertindak
mendapatkan surat terbabit daripada seorang mangsa dan tertera nombor telefon
lelaki yang disyaki sebagai dalang atau pelobi aktiviti berkenaan.
“Pegawai saya ada
menghubungi nombor yang tertera di surat itu dan kami mengesahkan memang wujud
penipuan di dalam hal ini kerana secara tiba-tiba lelaki itu bertanyakan ‘sudah
bayar RM35?’,” katanya di sini kelmarin.
Dikatakan ura-ura mengenai
penyebaran surat permohonan palsu itu kini sudah tersebar bukan sahaja di ibu
negeri malahan ke daerah-daerah lain seperti Tamparuli dan Ranau.
Bakri turut berasa sedih
dengan cara penipuan yang dilakukan sehingga difahamkan terdapat beberapa
individu di Tamparuli sudah berhenti kerja gara-gara terpengaruh akan surat
permohonan berkenaan.
“Sehubungan itu, kami
meminta agar orang ramai yang telah menjadi mangsa kepada aktiviti penipuan ini
menghubungi talian 088261845 atau 088261846,” katanya sambil menambah, pihaknya
khuatir ramai yang sudah menjadi mangsa penipuan itu. (UB)
No comments:
Post a Comment