LAMBANG......Abdul
Kadir menunjukkan lambang Pokok Sawit yang mewakili Badan Penaja Calon-Calon
Bebas Sabah.
Oleh: SHERBANU DEWI
ABD.GHANI
LAHAD DATU: Badan Penaja
Calon-Calon Bebas Sabah telah membuat keputusan menggunakan lambang pokok
kelapa sawit sebagai lambang badan tersebut dalam PRU13 yang akan diadakan
bila-bila masa dari sekarang.
Badan tersebut menyifatkan
bahawa lambang ini lebih sesuai di mata rakyat kerana kelapa sawit adalah
komoditi yang amat bernilai di negara ini dan di peringkat antarabangsa, malah
Sabah adalah pengeluar kelapa sawit terbesar di Malaysia.
Ketua badan itu, Datu Haji
Abdul Kadir Bin Datu Haji Tahir pada malam Khamis berkata, sehubung dengan
keputusan tersebut, pihaknya akan menyerah permohonan ini kepada Tan Sri Abdul
Aziz Mohd Yusof, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia di PutraJaya
dalam masa terdekat.
“Saya telah berjumpa dengan
48 calon bebas yang telah kami senaraikan di Kota Kinabalu pada 19 November
lalu, kesemua mereka telah menerima cadangan lambang ini dan menyerahkan kepada
saya selaku pengerusi Badan tersebut membuat permohonan bagi memudahkan
persediaan untuk menghadapi PRU13,” katanya.
Menyentuh perjumpaan
tersebut, Abdul Kadir berkata ia diadakan bagi mencapai persetujuan supaya
mengadakan kerjasama dan persefahaman calon-calon bebas melalui Badan Penaja
ini.
“Dulu calon bebas hanya
berdasarkan kemampuan sendiri, namun sekarang mereka ada Badan Penaja membantu
mereka, kali ini semua calon bebas bergabung permikiran, memberi idea untuk bagaimana
memperkuatkan lagi calon-calon bebas, justeru menningkatkan lagi peluang mereka
menang di PRU13” tegas Abdul Kadir yang melihat peluang calon Bebas pada PRU-13
sebagai terlalu cerah.
Kata Abdul Kadir lagi,
mereka bukannya kecewa kerana semata-mata tidak dipilih sebagai calon oleh parti
politik masing-masing, atau semata-mata hendak mencuba nasib di PRU13, tetapi
untuk membawa perubahan landskap politik negara dengan memulakan reformasi
sistem politik yang bersih dan sihat, demi kepentingan semua rakyat.
Abdul Kadir turut melahirkan
merasa gembira setelah menerima cadangan dari dua parti politik berdaftar di
Sabah untuk bekerjasama.
“Kita masih mempertimbangkan
cadangan tersebut, namun jika kita mendapat sokongan hebat dan mandat dari
rakyat pada PRU13 dan memenangi dua pertiga kerusi DUN, memandangkan calon
bebas tidak dibenarkan membentuk kerajaan mengikut undang-undang kerajaan kita,
maka kita akan membuat keputusan memilih salah satu daripada parti tersebut
sebagai platform kita untuk membentuk kerajaan,” ujarnya tetapi belum mahu
menamakan parti dua tersebut.
Di samping itu, selaku
pengerusi Gerak Gempur Khas Silam, Abdul Kadir menjemput rakyat Silam
menghadiri ceramah keselamatan jalanraya pada hari ini bertempat di Hotel
De'Leon Lahad Datu bagi penerapan pentingnya disiplin pengguna jalanraya.
Beliau berkata, fokus utama
ceramah tersebut adalah kepada penunggang motosikal dan kereta memandangkan kes-kes
kemalanggan jalanraya masih ditaraf yang tinggi di daerah ini.
“Kita telah menjemput polis trafik
PDRM dan JPJ bersama kita untuk memberi ceramah, malah Ketua Polis Daerah, Supt
Shamsuddin Mat adalah salah seorang penceramah pada program tersebut. Kita juga
akan membuat pameran Anti Dadah untuk memberi kesedaran kepada orang awam
bahayanya dadah kepada individu dan masyarakat,” kata Abdul Kadir yang berikrar
akan terus membantu penduduk Lahad Datu dalam segenap segi sekalipun beliau
bukan Wakil Rakyat.
No comments:
Post a Comment