Tuesday, 27 November 2012

MPS PERHEBAT KEMPEN ANTI KUTU SAMPAH





TAKLIMAT….Pegawai Kanan MPS Mansur Kawi sedang memberikan taklimat kepada para peserta.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

PIHAK Berkuasa Tempatan (PBT), khususnya Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) yang selalu menerima teguran membina daripada Ahli Parlimen Sandakan yang sering memberi amaran bahawa MPS bakal menjadi penyumbang besar kekalahan Barisan Nasional (BN) pada PRU-13 jika gagal menyelesaikan masalah rakyat.

Sebagai menyahut seruan para pemimpin kerajaan BN, kini Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) terus memperhebat aktiviti Kempen Anti Kutu Sampah bagi memastikan daerah ini sentiasa bersih dan indah pada setiap masa.

Penolong Setiausaha (Operasi) MPS, Mansor Kawi, berkata usaha murni ini mampu dicapai asalkan semua pihak memberikan kerjasama sepenuhnya seperti tidak membuang sampah sesuka hati, tetapi menggunakan tong-tong sedia ada.

Beliau berkata, kesedaran mengenai kebersihan alam sekitar perlu dipupuk kerana adalah menjadi tanggungjawab bagi menjaga kebersihan apatah lagi pembangunan secara terancang yang dilaksanakan menuntut masyarakat peka dengan soal melibatkan kebersihan di sekeliling mereka.

Katanya, MPS akan mengambil tindakan tegas sekiranya didapati orang ramai membuang sampah di merata-rata tempat dalam usaha mendidik masyarakat agar menitikberatkan aspek kebersihan, bukannya berniat menghukum.

"Masyarakat sendiri akan menerima kesannya jika bandar mereka kotor dan paling penting sekali jangan menunggu pihak berwajib baru kita menjaga kebersihan, tetapi sentiasalah menerapkan nilai-nilai cintakan kebersihan dalam diri dan menjadikan ia sebagai satu amalan gaya hidup yang sihat," jelasnya.

Mansor berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui dalam program 'Eco Shopping Game' di Kolej Kejururawatan Sandakan, di sini, pagi tadi.

Katanya, pihak MPS dengan kerjasama Kolej Kejururawatan sebagai 'Duta Anti Kutu Sampah' akan bekerjasama bagi memastikan matlamat yang dirancang dalam usaha memelihara kebersihan sekeliling tercapai.

Ini katanya, masyarakat perlu untuk lebih peka betapa pentingnya menjaga kebersihan kerana ia merupakan tanggugjawab bersama apatah lagi bandar ini sudah terkenal di kalangan pelancong dalam dan luar negara.

"Program pada pagi ini kita telah mendedahkan tentang kesedaran alam sekitar termasuklah pelupusan sisa-sisa pepejal kerana Kolej Kejururawatan sebagai 'Duta Anti Kutu Sampah' akan membantu MPS dalam menjaga kebersihan bandar ini.

"Kempen yang dijalankan ini amat penting memandangkan kita akan melatih pelajar tentang bagaimana mengendali sisa-sisa pepejal. Sebagai contoh, setiap barang yang kita beli sama ada di kedai-kedai runcit atau pun pasaraya akan menjadi sampah.

"Sebab itu, program seperti ini penting kerana ia bertujuan memberikan pendidikan kepada kita untuk menjaga kebersihan alam sekitar," tambah Mansor.

Eco Shopping Game atau Permainan Eko Membeli-Belah adalah satu program pendidikan alam sekitar yang diperkenalkan melibatkan kerjasama antara sebuah badan di Jepun dengan Pusat Tindakan Alam Sekitar Sabah (AEC).

Program berkenaan bertema 'Sisa dan Gaya Hidup' di mana aktiviti pertama permainan ini adalah membeli-belah secara olok-olok dalam setiap pasukan mengikut senarai membeli-belah.

Masa depan permainan itu adalah bahawa kos rawatan sisa yang dijana daripada barangan yang dibeli ditolak dari perubahan iaitu tidak seperti membeli-belah biasa dalam kehidupan seharian.

Tujuan permainan ini adalah untuk memberi kesedaran tentang masalah sampah yang berkaitan dan apa jua isu yang melibatkan alam sekitar.

No comments:

Post a Comment