SETIAUSAHA Agung Umno, Datuk
Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Umno sudah bersedia menerima kehadiran
5,447 anggota perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno 2012 yang akan bermula
minggu depan.
Katanya, segala persiapan
kini sudah di peringkat akhir dan mengikut jadual yang ditetapkan.
"Kami di ibu pejabat
Umno yakin perhimpunan agung akan berjalan dengan lancar," katanya pada
sidang media khas mengenai perhimpunan agung itu di Ibupejabat Umno semalam.
Menurut Tengku Adnan
Perhimpunan Agung Umno 2012 yang bakal bermula Selasa ini dengan Persidangan
Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri akan didominasi oleh mood pilihan raya
yang juga merupakan fokus utama Perdana Menteri dan Presiden parti Datuk Seri
Najib Tun Razak.
Seramai 991 anggota
perwakilan bagi setiap sayap parti itu akan bersidang dan mengemukakan agenda
masing-masing sebelum perasmian Perhimpunan Agung Umno 2012, pada Khamis.
Tengku Adnan berkata seramai
52 delegasi mewakili 20 parti dari 18 buah negara di peringkat antarabangsa
juga telah mengesahkan kehadiran ke perhimpunan kali ini sebagai pemerhati dan
menyertai Forum Antarabangsa 2012.
Forum bertajuk 'Konflik dan
Perdamaian dalam Politik Rakyat-Menoleh ke Belakang atau Memandang ke Hadapan'
itu akan berlangsung selama dua hari bermula Isnin (26 Nov).
Dalam pada itu Tengku Adnan
sekali lagi mengingatkan perwakilan Umno yang akan berbahas pada Perhimpunan
Agung Umno 2012 supaya berhujah secara bijak dan tidak menyentuh isu sensitif
yang boleh menyakitkan hati pihak lain.
Katanya walaupun mungkin
teruja berucap terutamanya memandangkan perhimpunan kali ini diselubungi mood
pilihan raya, mereka perlu mengelak daripada menimbulkan isu yang boleh
menyinggung perasaan orang lain.
"Kita minta mereka
'bertomakninah' sedikit. Memang ada kebebasan untuk berbahas dan kita terima
semua usul yang diberikan. Tapi sebagai parti berasaskan kaum, kita juga
bimbang dan meminta bahawa mereka jangan menyakitkan hati orang lain,"
katanya.
Persidangan Agung Umno kali
ini juga akan menyaksikan seramai 1,782 wartawan dari 102 buah agensi media
melibatkan media cetak dan elektronik selain media baharu termasuk blogger dan
portal berita online akan bertugas sepanjang persidangan berlangsung. (Bernama)
No comments:
Post a Comment