Friday, 6 February 2015

APS : JABATAN PERIKANAN HARUS SIASAT KEGIATAN MENYUNTIK UBAT PENGAWET MAYAT KE DALAM IKAN



Oleh: DARREL MAT SALONG


PAUL KADAU selaku Naib Presiden APS.

KENINGAU: Angkatan Perubahan Sabah (APS) Keningau memandang serius kegiatan segelintir pembekal ikan ke daerah pedalaman khususnya di Keningau dipercayai telah memasukkan ubat ‘Pengawet Mayat’ ke dalam ikan menggunakan suntikan berdasarkan rakaman video yang dihantar ke pihak APS.


Justeru, Jabatan Perikanan dan juga lain-lain agensi yang berkaitan digesa agar melakukan pemeriksaan mengejut terhadap pembekal-pembekal ikan sebelum ianya diedarkan atau dijual ke setiap daerah di negeri ini, kata Pengerusinya Paul Kadau, ketika memberitahu pemberita pada Ahad.

APS Keningau telah menerima rakaman video iaitu pembekal-pembekal sedang memasukkan ubat pengawet mayat itu ke dalam ikan mengunakan ‘injection’ namun tidak diketahui jenis pengawet yang digunakan, tegasnya.

“Saya difahamkan perbuatan ini sudah lama diamalkan oleh beberapa pembekal ikan agar ikan laut kelihatan segar dan tahan lama tanpa menghiraukan kesihatan orang ramai.

“Ramai penduduk terutama sekali pembeli ikan merungut dan merasa hairan mengapa rasa kelazatan ikan laut sejak kebelakangan ini apabila dimakan rasanya tidak sedap terutama sekali apabila digoreng,” ujarnya.

Paul yang juga merupakan Naib Presiden APS berkata, beliau tidak bermaksud untuk menyalahkan para penjual ikan di mana-mana pasar ikan di pedalaman kerana mereka sebenarnya langsung tidak menyedari masalah tersebut.

Tambahnya, pihak berkuasa terutama sekali Jabatan Perikanan agar mengambil perhatian serius perkara tersebut serta mengambil tindakan tegas mengikut undang undang yang sedia ada terhadap pembekal ikan yang didapati mengunakan ubat mayat.


Hal ini kerana, perbuatan sedemikian tidak boleh dimaafkan sama sekali kerana kesannya akan menjejaskan kesihatan manusia pada keseluruhannya secara jangka panjang, tegasnya. 

No comments:

Post a Comment