Tuesday, 17 February 2015

TOLAK POLITIK EKTSRIM YANG BOLEH JEJASKAN PERPADUAN, KATA ROSNAH



SERAH… Rosnah ,Ghulam, Sarimin serta rombongan ketika menyerahkan kad ucapan dan Ang Pow Tahun Baru Cina kepada golongan peniaga Tiong Hwa di Pekan Papar kemarin.



PAPAR :  Rakyat di negeri ini khususnya golongan muda diingatkan agar tidak terpengaruh dengan budaya politik ekstrim yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian kaum yang terbenam sejak sekian lama.


Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Hajah Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, budaya tersebut jika tidak ditangani dan rakyat mudah dipengaruhi oleh kumpulan yang tidak bertanggungjawab ini, ianya akan  membawa kesan yang amat berbahaya kepada negara yang mempunyai pelbagai rumpun budaya, bangsa dan fahaman agama.

Katanya, rakyat perlu memikirkan kesan jangka panjang masalah ini dan jangan mudah terpengaruh dengan pihak yang cuba merosakkan perpaduan rakyat negeri ini.

Sehubungan dengan itu, Rosnah mengajak rakyat di negeri ini  untuk terus memelihara tradisi persefahaman dan toleransi antara kaum yang menjadi kunci kekuatan negara selama ini dengan tidak membenarkan mana-mana pihak mencetuskan api perkauman.

“Tindakan membenarkan api perkauman dicetuskan pastinya akan meruntuhkan keharmonian negara yang telah terbina sejak sekian lama” katanya ketika ditemui selepas mengagih-agihkan kad ucapan Tahun Baharu  Cina dan Ang Pow kepada masyarakat cina di sekitar Pekan Papar dan Kinarut pagi kemarin.

Turut Serta Pembantu Menteri Pembangunan Infrastuktur Datuk Hj Ghulam Haidar Khan Bahadar, Pegawai Daerah Papar Sarimin MF Basir  serta pemimpin parti-parti  komponen Barisan Nasional  kawasan Papar.

Menurut Rosnah Yang juga Ahli Parlimen Papar rakyat di negeri ini seharusnya bersama-sama bekerja keras untuk membina gagasan 1Malaysia berdasarkan sikap saling percaya mempercayai dan menjauhi rasa curiga biar pun setitik.

Katanya, telah terbukti tidak ada sekatan, jauh sekali larangan kepada kaum-kaum di Malaysia termasuk kaum Tionghua untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing dan seterusnya meraikan perayaan secara besar-besaran.

Semantara itu, Ghulam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Kawan semasa ditemui di majlis yang sama berkata, toleransi kaum yang menjadi teras kepada keamanan Malaysia sejak dahulu lagi akan dapat dikekalkan jika sikap saling faham-memahami, hormat-menghormati dan membantu antara satu sama lain terus menjadi amalan.

Katanya, sambutan Tahun Baharu Cina dalam konsep perkongsian perayaan  dengan budaya kunjung mengunjungi yang diamalkan oleh rakyat di negeri ini menjadi satu lagi bukti betapa rakyat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum memiliki kebebasan untuk mengamalkan adat, budaya dan tradisi kaum masing-masing.

“Kita yakin masyarakat Tionghua seperti mana kaum-kaum lain di negara ini mahu melihat Malaysia terus membangun dan berjaya mencapai Wawasan 2020 sebagai negara maju” katanya

Ghulam berkata sebagai kaum kedua terbesar di negara ini, perayaan Tahun Baharu Cina menjadi lebih menyerlah dengan adanya penyertaan kaum lain yang turut memeriahkan kedatangan Tahun  Kuda pada sambutan tahun baru cina kali ini.


GALERI ACARA : 



BERBUAL MESRA..Rosnah bersama Ghulam berbual mesra dengan salah seorang peniaga kaum Tiong Hwa di Pekan Papar semasa kunjungan tersebut.





SIAP SEDIA…Rosnah dan Ghulam bersama rombongan bersiap sedia untuk bergerak mengelilingi pekan Papar bagi menyampaikan kad ucapan tahun baru cina.





MESRA..Rosnah sambil diperhatikan Ghulam ketika menyampaikan kad Ucapan kepada salah seorang peniaga semasa kunjungan tersebut.






CERIA..Ghulam ketika menyampaikan kad  ucapan Tahun Baru Cina kepada salah seorang peniaga kaum Tiong Hwa di Pekan Papar.

No comments:

Post a Comment