Sunday, 22 February 2015

JKKK HARUS EFEKTIF SOAL PENGURUSAN SAMPAH: YB DATUK MADIUS TANGAU



Tamparuli: "Pengurusan dan pembuangan sampah kini merupakan cabaran yang semakin kritikal dan perlu perhatian semua pihak dan tidak meletakkan tanggungjawab ini kepada pihak berkuasa tempatan semata-mata" Datuk Madius berkata demikian semasa merasmikan penubuhan cawangan UPKO di Kg Pengasahan Tamparuli. 


Saranan YB Datuk ini sebagai mengulas rungutan orang awam tentang kebersihan dan pengurusan sampah oleh Pihak Berkuasa Tempatan di Pekan Tamparuli yang dilaporkan tidak cekap. 

Datuk Madius memaklumkan bahawa Majlis Daerah Tuaran sebenarnya telah menyediakan tong-tong sampah yang cukup dan jadual pemungutan sampah yang teratur. 

Namun kemudahan yang disediakan ini hanya mampu menampung anggaran sampah yang dibuang oleh penduduk yang tinggal dalam kawasan perkadaran Majlis sahaja. Longgokan sampah yang berlebihan dan tidak mampu diurus oleh Majlis itu adalah disumbang oleh penduduk dipersekitaran pekan Tamparuli yang tidak termasuk dalam kawasan perkadaran. 

Sudah menjadi kebiasaan dan amalan penduduk dipesisir pekan membuang sampah sarap mereka di tong-tong sampah yang disediakan oleh Majlis di pekan. Oleh yang demikian, Datuk Madius menyarankan agar satu mekanisma pengurusan sampah perlu diwujudkan di peringkat kampung agar bukan sahaja kampung tersebut akan lebih bersih malah penduduk sekitar juga dapat membantu menjaga kebersihan Pekan Tamparuli.

"Kebersihan dan kecantikan Pekan Tamparuli adalah tanggungjawab bersama semua peniaga-peniaga, pelanggan-pelanggan, pengunjung-pengunjung, penduduk sekitar dan juga Majlis Kerajaan Tempatan" tegas Datuk Madius.

"Pekan Tamparuli adalah merupakan sebuah Pekan Pelancungan yang terkenal dengan Jambatan Gantung Tamparuli dan sungainya yang menjadi kegilaan para pencinta ‘rafting’, oleh itu marilah sama-sama menjaga kecantikan dan kebersihan supaya kita dapat menarik lebih ramai pelancung mengunjungi daerah ini" seru Datuk Madius.
Dalam majlis ini seramai 34 orang ahli baru menyertai UPKO yang diketuai oleh saudara Milton Buja anak kepada mantan Ahli Parlimen pertama Tuaran, Datuk Buja Gumbilai.

Saudara Melton mengambil keputusan untuk menyertai UPKO setelah sekian lama tidak aktif dalam politik kerana kepercayaan dan keyakinannya kepada kepimpinan YB Datuk Madius Tangau yang merupakan Presiden UPKO yang baru.

"Saya amat yakin dan percaya di bawah kepimpinan Datuk Madius, UPKO akan menjadi sebuah parti yang kuat terutama sekali dalam usaha membawa pembangunan kepada penduduk asal di Malaysia ini" kata saudara Melton semasa menyampaikan ucapan alu-aluan beliau dalam majlis ini.


Majlis ini turut dihadiri oleh Ketua Wanita UPKO Nasional Datin Dr. Jainah, Ketua Penerangan UPKO Nasional Encik Albert Bingkasan dan AJK Komoloingan UPKO Pusat Yang Berbahagia Datuk Kimun Anad.

No comments:

Post a Comment