Wednesday, 4 February 2015

UMAT ISLAM DIAJAK TERUS PERTAHANKAN PERPADUAN




TAHNIAH… Fadli ketika menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang dalam pertandingan yang diadakan sempana sambutan tersebut


KOTA BELUD: Umat Islam digesa agar sentiasa memperkukuh perpaduan dan memelihara keharmonian sesama umat Islam dan masyarakat lain.


Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kota Belud Haji Fadli Juanas berkata, umat Islam juga perlu menerima hakikat mengenai kemajmukan kaum dan agama dalam negara sebagai satu rahmat kurniaan Allah s.w.t yang tidak ternilai.

Katanya, hubungan kukuh serta saling hormati-menghormati  dalam kalangan masyarakat  di negeri ini walaupun terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, mampu menghindar sikap menghina atau mencela agama dan amalan budaya kaum lain.


DIHARGAI…Fadli menerima cendera kenangan dari penganjur selepas merasmikan majlis tersebut

“Dalam masyarakat majmuk perpaduan adalah tunjangnya, hubungan baik antara kaum adalah keutamaannya, kerjasama dan tolak ansur adalah syaratnya manakala menghina bangsa, agama dan budaya adalah pantangnya” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kampung Suang Punggor di masjid Hj.Osman dekat sini baru baru ini.


AMANAT…Fadli ketika berucap merasmikan majlis tersebut

Dalam pada itu, Fadli juga turut mengingatkan umat Islam khususnya golongan muda agar tidak mudah terpengaruh atau terikut ikut dengan perbuatan yang boleh merosakkan tahap perpaduan dan keharmonian rakyat di negeri ini.

Katanya, sejak akhir-akhir ini ada kumpulan-kumpulan tertentu yang cuba menghasut rakyat Sabah melalui pelbagai pendekatan seperti menggunakan media sosial dan penyebaran risalah untuk membawa Sabah keluar dari Malaysia (SSKM) yang dilihat sebagai satu gerakan yang boleh menjejaskan perpaduan, merosakkan keharmonian dan merencatkan program pembangunan untuk kesajehteraan rakyat.

“Kita perlu mengelak terikut-ikut dan terpengaruh dengan kumpulan ini, jika timbul rasa ketidakpuasaan terhadap sesuatu perkara, kita mempunyai saluran yang betul untuk menyuarakan bukannya mewujudkan sentiman yang boleh menjejaskan perpaduan dan kemakmuran negara” jelas beliau.

Menurut  Fadli Sesuai dengan tema sambutan Maulidur Rasul pada kali ini,  ‘Perpaduan Nadi Transformasi Negara’,  umat Islam perlu sentiasa menyuburkan semangat perpaduan sebagai rakyat Malaysia.

“Marilah kita tonjolkan persamaan antara kita dan meraikan kepelbagaian yang ada. Bersamalah kita membina negara ini dengan sikap berlapang dada atas nama perpaduan, mengambil yang jernih dan meninggalkan segala kekeruhan” katanya.

Katanya, sempena  sambutan Maulidur Rasul SAW kali ini, umat Islam perlu terus membangkitkan keghairahan dan mengupayakan  diri untuk mencontohi akhlak serta mengamalkan sunnah Baginda, agar berjaya di dunia dan akhirat.

“Jika perpaduan ini dapat kita terjemahkan, sudah tentu hasrat kerajaan untuk melakukan segala proses tranformasi Negara untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan sepenuhnya” tambah Fadli.

No comments:

Post a Comment