LAHAD DATU: Polis dari
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) daerah Lahad Datu telah menahan seorang lelaki
dan mengesan 12 lagi suspek lain bagi membantu siasatan berhubung kes
pergaduhan sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki dalam satu kejadian di
Kampung Air, di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Lahad
Datu, Superitendan Shamsudin Mat dalam sidang media bersama wartawan berkata,
dalam kejadian yang berlaku pada jam 12.41 tengah hari itu, mangsa dikenali
sebagai Ibnu Sala, 56, mati sebaik tiba di Hospital Daerah Lahad Datu akibat mengalami
kecederaan parah pada bahagian belakang leher, perut, belakang badan dan di
kepala selepas diserang oleh sekumpulan lelaki yang bersenjata tajam dalam
pergaduhan itu.
Katanya, siasatan awal
mendapati kejadian itu berpunca daripada perselisihan faham yang timbul di
antara mereka hingga menyebabkan dua lagi ahli keluarga mangsa turut mengalami
kecederaan dan salah seorang daripadanya parah.
“Manakala salah seorang
lelaki daripada kumpulan 12 orang suspek yang dikehendaki itu difahamkan turut
mengalami cedera ringan, ketiga-tiga mangsa yang berumur lingkungan 16 hingga
44 tahun itu cedera kebanyakannya di bahagian tangan.
“Walau bagaimanapun, suspek
utama dalam kejadian itu telah berjaya ditangkap satu setengah jam kemudian di
kawasan berhampiran selepas sepasukan anggota JSJ dikerah bergegas ke lokasi
kejadian,” katanya.
Shamsudin berkata, pihaknya
kini turut dibantu oleh cawangan dari unit D9 daerah Kota Kinabalu yang tiba di
sini bagi membantu, mengesan dan menangkap 12 suspek yang dikehendaki itu.
“Dengan adanya bantuan itu,
pihak kita percaya kesemua suspek yang masih berada di dalam daerah ini akan
berjaya ditangkap dalam masa terdekat berdasarkan maklumat-maklumat yang telah
dikumpul dan diperolehi,” katanya sambil menambah, dalam kejadian itu pihaknya
juga turut merampas beberapa senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam
pergaduhan itu.
Beliau turut mengingatkan
kepada orang awam atau masyarakat di daerah ini supaya tidak mengambil sebarang
tindakan undang-undang di tangan sendiri sekiranya berlaku kejadian-kejadian
seperti itu.
“Ini bagi mengelakkan diri
mereka daripada dikenakan tindakan undang-undang sekiranya mereka membuat
undang-undang sendiri tanpa memaklumkan sesuatu kejadian itu kepada pihak
polis,” katanya.
Sementara itu, dalam kes
berasingan pada hari yang sama, Shamsudin berkata seorang lelaki warga asing
ditemui mati dalam keadaan terlentang di kawasan semak dengan keadaan perut
terburai serta cedera di bahagian tengkuk hingga ke dada dipercayai mati akibat
dibunuh.
Dalam kejadian yang berlaku
di Kampung Ubi Jalan Dam itu, pihaknya telah menerima satu laporan daripada
rakan mangsa berhubung kejadian itu kira-kira jam 11.30 pagi dan mengerahkan
sepasukan anggota JSJ bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, sebaik tiba
pihaknya telah menjumpai mayat lelaki terbabit yang dikenali sebagai Salih Khan
berumur 30 tahun dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah, dan dipercayai
telah dibunuh sehari sebelum mayat mangsa dijumpai.
Ekoran itu, pihaknya juga
telah menahan seorang wanita berumur 40 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki
berusia 11 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.
“Pihak kita juga telah
mengenal pasti suspek utama dalam kejadian itu yang merupakan seorang lelaki
berumur lingkungan 40-an dan merupakan seorang pekerja di salah sebuah syarikat
perladangan.
“Kita percaya suspek akan
dapat ditangkap dalam masa terdekat ini,” katanya sambil menambah, pihaknya
juga telah merampas satu senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam kejadian
itu pada jarak kira-kira 250 meter daripada tempat mayat ditemui.
Kedua-dua kes terbabit kini
disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kes masih diteruskan. Orang
ramai yang melihat, terdengar atau mengetahui akan kejadian itu diminta supaya
menghubungi pegawai penyasat iaitu Insp Abdul Mutalib Harun di talian
013-5470133 atau ASP Ang Siow Aun di talian 016-8799320 bagi memaklumkan
sebarang maklumat yang berkaitan. (UB)
No comments:
Post a Comment