Wednesday, 26 September 2012

WANITA DAKWA TERIMA KAD PR BILA PERBAHARUI IC


           
Oleh :   ZULAIKHA ZULKIFLI

SEORANG wanita warga emas hari ini mendakwa, beliau menerima kad pengenalan pemastautin tetap daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) apabila memperbaharui kad pengenalannya 20 tahun lalu.

Ong Poo Su, 70, dari Taman Muda, Ampang mendakwa beliau sebelum ini merupakan pemegang kad pengenalan warganegara Malaysia dan cuba memperbaharui dokumen itu di JPN Petaling Jaya.

Beliau yang tidak mampu bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik berkata demikian melalui perantara, seorang ketua biro aduan parti GERAKAN, Ben Liew Pok Boon.

"Sebelum ini, dia mempunyai kad pengenalan warganegara. Kad pengenalan lama yang mempunyai cap jari.

"Tetapi semasa memperbaharui untuk membuat (kad pengenalan baru), dia mendapat kad pemastautin tetap. Sedangkan dia memang warganegara. Saya rasa perkara ini terjadi kerana kecuaian JPN dan saya percaya ini bukan kes yang pertama berlaku," kata Ben pada sidang media di Ampang hari ini.

Katanya, Ong juga memperolehi pasport Malaysia pada tahun 1989 yang membenarkan wanita itu mengunjungi Singapura pada masa itu.

Boon juga mendakwa, Ong mempunyai 12 orang anak yang kesemuanya memiliki sijil kelahiran.

Ong berasal dari Taiping Perak, dan ibu bapa wanita itu juga berasal dari tempat sama.

Ini menunjukkan bahawa Ong sememangnya seorang warganegara dan bukan pemastautin tetap.

"Dalam semua surat beranak anak Ong, bertulis 'biru' dan 'warganegara'. 'Biru' itu menunjukkan dia mempunyai kad pengenalan untuk rakyat Malaysia. Jadi, bagaimana dia boleh mendapat kad pemastautin ini?," soal Boon.

Boon berkata, "kesilapan" yang dilakukan JPN itu menyukarkan Ong menjalankan aktiviti seharian selain tidak dapat mengundi pada pilihan raya umum.

Disebabkan masalah ini juga, Ong juga tidak layak untuk memohon Borang Rakyat 1Malaysia (BR1M), kata Boon.

Katanya, biro aduan GERAKAN akan berjumpa pengarah JPN di Putrajaya bagi menyelesaikan masalah yang telah melanda Ong.

"Esok pagi kita akan pergi ke Putrajaya untuk berjumpa pengarah JPN. Saya percaya, saya dapat bantu Ong dengan segala maklumat dan dokumen bukti ini," katanya yang percaya ia berpunca daripada kecuaian JPN. (MKINI)

No comments:

Post a Comment