Thursday, 27 September 2012

KAJIAN PRU: BIAR RAKYAT JADI PENENTU





TOLAK....Pemuda MCA menolak kajian UMCEDEL yang mengatakan isu integriti pemimpin Umno/BN sebagai batu penghalang untuk meraih undi.

Oleh : K PRAGALATH


PETALING JAYA: Pemimpin Pemuda  MCA, Datuk Chua Tee Yong menolak hasil penemuan kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) bahawa integriti pemimpin Umno/BN menjadi batu penghalang meraih undi di dalam pilihan raya umum ke 13.

“Di Malaysia hasil kajian dan pola pengundian tidak selari seperti di Amerika Syarikat,” kata Ketua Biro Profesional Muda MCA itu.

Chua turut mencabar Pakatan Rakayat untuk membubarkan sidang Dewan Undangan Negeri di negeri yang diperintah Pakatan Rakyat – Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor.

“Ini tidak bermakna Pakatan Rakyat sempurna. Mereka boleh mengisytiharkan pilihanraya di negeri masing-masing dengan serta merta,” katanya yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Manakala, Setiausaha BN Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, pilihan raya umum ke 13 akan menentukan sama ada integriti kepimpinan BN dan Umno tercalar atau tidak.

“Biar rakyat yang jadi penentu di dalam pilihan raya umum akan datang,” kata Rahman yang juga merupakan ahli Parlimen Kota Belud.

Rahman bagaimanapun,  mempersoalkan kaedah metodologi dan pengalaman yang digunakan oleh UMCEDEL dalam menjalankan kajian sebegini.

`Kegagalan kerajaan’

“Adakah mereka menjalankan kajian sebegini sebelum ini?”

Beliau mengulas hasil kajian UMCEDEL yang mendapati isu integriti pemimpin Umno/BN sebagai batu penghalang untuk meraih undi di dalam pilihan raya umum ke 13.

Sebanyak 70 peratus dari 2,282 responden dalam bulan April dan 66 peratus dari 1,536 responden pada bulan ini menyatakan isu integriti pemimpin Umno dan BN menjadi batu penghalang untuk mereka mengundi parti pemerintah kebangsaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen PAS  Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad berkata mereka akan menggunakan kajian ini sebagai modal kempen pilihan raya.

“Ia akan memudahkan kempen pilihan raya kami. Hasil kajian ini menunjukkan kegagalan kepimpinan kerajaan untuk melaksanakan wawasan kerana mereka gagal mengamalkan ketelusan dan keutuhan kepimpinan,” kata beliau yang turut menjadi ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Beliau menambah bahawa usaha ini akan dibuat selaras dengan usaha menggunakan pelbagai media untuk menyampaikan mesej kepada para pengundi. (FMT)

No comments:

Post a Comment