Saturday 26 January 2013

KELUARGA PESAKIT KRONIK RAYU RUMAH PPRT



           


DAIF....Zainah (kanan) berdiri bersama isterinya di hadapan rumah yang kecil dan tidak lengkap.

By : YAP SIONG HAN

KOTA KINABALU: Ahli keluarga kepada kanak-kanak berusia 5 tahun, Siti Aryani Zainah, merayu simpati kerajaan untuk memberikan maklum balas mengenai permohonan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dipohon mereka agar Siti boleh dikeluarkan daripada Hospital.

Siti adalah anak keempat dalam keluarga itu. Dia yang diperiksa oleh pihak hospital didapati menghadapi penyakit kronik berkaitan paru-paru dan hanya bergantung kepada alat pernafasan untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.

Siti telah dimasukkan ke wad Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas pada Oktober 2008 dan disahkan sudah stabil dan boleh keluar daripada hospital itu pada tahun 2009.

Namun, isu yang membuatkan Siti tidak dibenarkan kembali ke rumah adalah disebabkan rumah mereka rumah papan yang terletak di Kampung Melalin, Tuaran yang mana tidak ada kemudahan asas seperti elektrik untuk membolehkan alat pernafasan digunakan di samping melanggar peraturan untuk menggunakan alat ventilator di kawasan yang mudah terbakar.

Menurut Sukarelawan Sepenuh Masa (Kebajikan Pesakit dan Sosial), Ooi Kong Eow, Siti bersama ayahnya telah pergi ke rumah pemimpin kerajaan di sana untuk memohon rumah PPRT namun mereka disuruh untuk tunggu setahun lagi disebabkan tidak ada peruntukan lebihan pada tahun 2009.

Pada awal tahun 2010, keluarga Siti telah diberikan jawapan yang sama lagi. Kemudian pada 9 Februari tahun sama, pegawai kerajaan bekenaan telah meminta sekali lagi untuk mendapatkan dokumen yang berkaitan daripada keluarga siti.

“Mereka disuruh menyediakan tapak untuk pembinaan rumah PPRT dan kemudian ayah Siti telah merobohkan rumah papan mereka untuk pembinaan rumah PPRT.

“Selepas menghantar dokumen yang diperlukan, doktor dari hospital berkenaan telah menelefon pegawai berkenaan hampir setiap minggu untuk mengesahkan status permohonan itu, tetapi mereka diberikan jawapan yang sama iaitu tidak ada peruntukan sehinggalah doktor berkenaan putus asa.

“Pada tahun 2011, ayahnya Zainah membuat keputusan untuk membina rumah itu dengan konkrit tetapi disebabkan masalah kewangan, pembinaan rumah itu mengambil masa setahun untuk disiapkan dengan hanya saiz 16′ x 20′ tanpa dapur, tandas, elektrik dan bekalan air bersih,” katanya kepada Utusan Borneo baru-baru ini.

Ooi berkata, pada tahun 2011, beliau telah membantu keluarga itu memohon rumah pangsa PPRT dan Pegawai Daerah Tuaran meluluskan permohonan itu dalam masa enam bulan.

Bagaimanapun, katanya, unit yang diluluskan itu terletak di tingkat dua disebabkan di tingkat bawah sudah penuh. Keadaan Siti tidak membenarkannya tinggal di tingkat dua atau mana-mana tingkat yang lain melainkan di tingkat bawah kerana ianya untuk keselesaan pesakit.

“Keluarga Siti masih memerlukan sekurang-kurang RM10,000 lagi untuk membesarkan dan menyiapkan rumah berkenaan dengan kelengkapan elektrik dan bekalan air.

“Ayah Siti hanya bekerja dalam kilang dengan pendapatan sebulan RM400 hingga RM500 sahaja, oleh itu sebarang bantuan dariapada mana-mana pihak yang prihatin adalah sangat dialu-alukan,” katanya.

Ooi barkata, tujuan utama beliau mengemukakan perkara ini adalah untuk membolehkan kerajaan mengambil langkah yang berpatutan untuk membantu Siti dan keluarganya.

Beliau juga menyeru kepada masyarakat yang prihatin supaya menderma kepada keluarga Siti agar dia boleh balik ke rumah sendiri.

Mereka yang prihatin dan mempunyai niat untuk membantu boleh menghubungi Ooi di talian 017 8954929. Kini Siti dan keluargannya tinggal bersama di rumah neneknya di kampung yang sama. (UB)

No comments:

Post a Comment