Wednesday 30 January 2013

TGCC HANTAR MEMO KEPADA MDT







SERAH.... Teo (tiga dari kanan) sedang menyerahkan memorandum kepada Siriman.

Oleh : MAIL MATHEW

TENOM: Satu rombongan Jawatankuasa Dewan Perniagaan China Tenom (TCCC) yang diketuai Pengerusinya Datuk Teo Min Chung menghantar satu memorandum kepada Pengerusi Mesyuarat Majlis Daerah Tenom yang juga merupakan Pegawai Daerah di sini Siriman M.F Basir di pejabatnya baru-baru ini.

Memorandum mengandungi 9 perkara seperti lorong barisan Jalan Datuk Yassin; sais pembahagi jalan (island) dikurangkan supaya aliran laluan kenderaan luas dan lancar, menggantikan besi penutup parit yang sukar dicuri, membaikpulih lampu-lampu lorong di belakang BSN yang tidak menyala.

Selain itu meminta Majlis Daerah melaksanakan arahan pengurangan kadar cukai pintu pada kadar baru yang dipersetujui sebelum ini termasuk mengekalkan penggunaan laluan kakilima (walk way 5 foot) bahagian depan dan belakang kedai.

TCCC dalam mesyuaratnya turut menyenaraikan hasratnya meminta pihak keselamatan khususnya Polis meronda (round beat) ketika waktu malam, memandangkan kawasan pekan dikunjungi orang luar yang tidak dikenali pada waktu malam, terutamanya ketika hujung minggu termasuk cadangan pembinaan pondok Polis di kawasan Pasar pekan.

Pihak Majlis Daerah turut digesa agar membaiki lampu-lampu di jambatan Tenom Lama termasuk membaikpulih ketahanan fizikal infrastruktur jambatan tersebut yang kini semakin teruk keadaannya terutama di bahagian pelantar tiang di bawah jambatan.

Kedai makanan segera KFC di sini turut disenaraikan agar serobong laluan asap ditinggikan daripada yang ada sekarang kerana terlalu rendah menyebabkan asap yang terlepas keluar mengganggu premis lain yang berhampiran.

Sehubungan itu, Siriman memberi reaksi bahawa kesemua 9 perkara yang terkandung di dalam memorandum TCCC itu, beliau akan bentangkan di dalam mesyuarat penuh Majlis Daerah dan juga mesyuarat tindakan daerah yang dianggotai oleh Ketua-Ketua jabatan dalam masa terdekat.

“Saya berterima kasih di atas kerjasama TCCC dalam mengemukakan beberapa cadangan ini untuk diambil tindakan PBT demi kebaikan dan keselesaan warga pekan...kami akan cuba lakukan yang terbaik,“ jelas Siriman.

Terdahulu, Pengerusi TCCC Datuk Teo Min Chung berharap penuh agar beberapa perkara yang disenaraikan dalam memorandum TCCC diambil perhatian serius oleh pihak PBT kerana masalah tersebut sudah tergantung sekian lama tidak dilaksanakan walaupun pihaknya berulangkali mengajukan perkara itu sebelum ini.

No comments:

Post a Comment