Setiap hari kita seringkali
mendengar rintihan tangisan kisah-kisah rumahtangga di media sosial khususnya.
Tidak kurangnya cerita pergolakan rumahtangga diakhiri dengan penceraian
disebabkan orang ketiga. Ada pulak yang memilih untuk meneruskan perkahwinan
yang hambar walaupun tanpa nafkah sesen belah tujuh dan nafkah batin.
Sebaliknya, sesetengah para
suami gemar memilih pintu belakang dengan cara bernikah senyap-senyap di luar
negara dan Thailand menjadi trend pilihan utama.
Apakah poligami menjadi
penyelesaian kepada permasalahan rumahtangga? Bagi para suami, menemui sang
betina merpati yang mampu menyejukkan hati adalah racun kepada penawar hati
yang gundah gelana. Manakala isteri pula dibiarkan menangisi takdir dan nasib
sepanjang masa, seolah-olah neraka bagi sang isteri.
Dalam usaha sang suami
mencari madu yang mampu menjaga rumah tangga agar lebih baik dalam pandangan
Islam, ramai para suami masih belum mempunyai akses secukupnya dalam ilmu
poligami dan erti nikmat perkahwinan.
Mari kita berkongsi beberapa
fakta jelas berkenaan poligami dan undang-undang dalam perkahwinan Islam agar
dimanfaatkan dengan lebih baik dalam masyarakat Islam. Fakta ini dikeluarkan
oleh salah seorang Peguam Syarie Malaysia yang berdaftar sebagai Pengamal
Undang-undang Malaysia, Puan Fadhlina Sidek.
Terdapat 19 fakta-fakta yang
beliau kongsikan sebagai pengetahuan semua :
1. Poligami tanpa kebenaran
adalah suatu kesalahan di Malaysia. Kebenaran siapa? Kebenaran Mahkamah Tinggi
Syariah! Bukan kebenaran isteri.
2. Nusyuz hanya boleh
disabitkan oleh Mahkamah Syariah sahaja!
3. Poligami: mesti
dibuktikan mengapa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut atau perlu. Ia
bukan kerana faktor "ada aura."
4. Perkahwinan secara
poligami yang dicadangkan itu mestilah perkahwinan yang tidak akan menyebabkan
dharar syarie (bahaya) kepada isteri.
5. Melafazkan cerai terhadap
isteri di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah adalah satu kesalahan
matrimonial.
6. Menceraikan isteri ketika
beliau sedang hamil, iddahnya adalah sehingga isteri selesai bersalin.
7. "Hak Giliran
Bermalam" adalah antara hak yang wajib direkodkan dalam poligami. Ia
seperti kata-kata Mak Teh Sarimah kepada P. Ramlee dalam filem Madu Tiga.
8. Molek sangat andai para
ustaz juga menulis tentang "Nusyuz Sang Suami." Tidaklah pejuang hak
wanita asyik dituduh sebagai feminist dan anti-lelaki.
9. "Imsak bil
maaruf" (mengambil dengan baik) atau "tasrih bil ihsan"
(melepaskan dengan baik) adalah dua prinsip utama tentang proses kahwin dan
cerai dalam Islam.
10. Lelaki/suami yang baik
tidak akan mempermainkan isu poligami. Mengapa? Kerana poligami sangat berkait
rapat dan terjalin erat dengan soal TAQWA.
11. Berkahwin kerana taqwa,
dan bercerai juga dengan taqwa. Itu pesanan penting Surah At-Talaq. Inilah
antara inti penting Ayat 1,000 dinar yang kalian selalu salah tanggap untuk
dibaca bagi meraih untung dalam perniagaan.
12. Pengesahan lafaz cerai
adalah prosedur atau tatacara mengesahkan lafaz cerai yang dibuat oleh suami di
luar mahkamah, dan tanpa kebenaran mahkamah.
13. Menceraikan isteri
ketika isteri sedang hamil adalah talak bidi'e yang ditegah dalam agama.
14. Poligami: suami mestilah
berkeupayaan untuk memberikan keadilan kepada isteri-isteri yang dinikahi. Itu
undang-undang dan hukum syarak.
15. Hasrat hendak
mengelakkan maksiat dan zina, mahu tambah zuriat, apatah lagi aura, bukan
alasan untuk berpoligami mengikut undang-undang.
16. Nafkah iddah adalah
wajib, kecuali jika isteri disabitkan dengan kesalahan nusyuz oleh Mahkamah
Syariah.
17. Nafkah isteri, tempat
tinggal, nafkah anak, giliran bermalam dan pembahagian harta sepencarian,
adalah perintah wajib bagi poligami.
18. Sakinah, Mawaddah dan
Rahmah adalah ekosistem keluarga. Bina, pelihara dan pertahankan.
19. Selesai. Dapat atau
tidak aura Kak Fadh?
Sumber : Puan Fadhlina Sidek
(Peguam Syarie yang berdaftar dalam Malaysia)
No comments:
Post a Comment