Sunday 15 December 2019

SAMAN MUSA TIDAK GANGGU TUGAS TADBIR SABAH





PAPAR: Samanlah 1,000 kali sekali pun, pentadbiran kerajaan negeri akan diteruskan demi memastikan Sabah ditadbir dengan baik.


Demikian penegasan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal terhadap saman yang dikemukakan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman terhadap dirinya.


Mohd. Shafie berkata, beliau tidak akan tergugat dengan saman berkenaan apatah lagi dibuat oleh pihak yang mentadbir Sabah selama berpuluh tahun tetapi terbukti gagal.


Katanya, sistem pentadbiran sekarang akan ditambah baik termasuk menyelesaikan isu yang gagal ditangani Musa seperti warga asing melalui langkah memperkenalkan Pas Sementara Sabah (PSS).

“Pihak yang menuduh kita ini sudah berpuluh tahun menjadi kerajaan tapi gagal menangani permasalahan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah, sekarang mereka tiada kerja lain, selain menuduh kita.

“Musa sudah kalah dan asyik menyaman saya, kita baru setahun lapan bulan menjadi kerajaan tetapi dia asyik menyaman untuk mengganggu saya melaksanakan tugas mentadbir negeri ini.

“Dia boleh saman saya 1,000 kali, namun saya akan mentadbir Sabah dengan baik,” katanya ketika berucap semasa merasmikan Majlis Kesyukuran dan Meraikan Sambutan Hari Krismas 2019 anjuran Persatuan Kadazan Dusun Murut (KDM) Malaysia, di Kampung Kelatuan, di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden KDM Malaysia Datuk Peter Anthony; Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman; Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dr Daud Yusof; Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan; Setiausaha Agung Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Loretto S.Padua dan Ketua Warisan Bahagian Kimanis, Datuk Karim Bujang.

Mohd. Shafie berkata, PSS dikeluarkan adalah bagi menyatukan dokumen yang pernah dikeluarkan di Sabah pada masa dahulu agar memudahkan proses mengenal pasti keberadaan pemegang dokumen Kad Pendaftaran Khas Orang Asing (IMM13), Kad Burung-Burung dan Sijil Banci.

Menurutnya, PSS bukan dikeluarkan untuk memberikan kad pengenalan kepada PATI kerana ia dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan.

Dalam pada itu, beliau berkata, Sabah dalam proses menstabilkan ekonomi negeri bagi menarik kemasukkan pelabur ke negeri ini.

“Pelabur asing akan datang ke Sabah sekiranya negeri ini stabil.

“Jika dilihat kedudukan Sabah, negeri ini antara negeri yang paling stabil kerana 52 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah kerusi pemimpin kerajaan,” katanya.

Dalam majlis sama, beliau turut meluluskan peruntukan bagi pemasangan pagar di kawasan Gereja St Kenneth di Kg Kelatuan.

Sumber : BorneoToday

1 comment:

  1. Thanks for sharing, great post!

    Áo khoác Đà Lạt chuyên sỉ và lẻ áo khoác áo khoác nam với giá ưu đãi nhất 2020. Luôn cập nhật mẫu mới chất lượng và dày ấm nhất kể cả với thời tiết lạnh giá các nước có du học sinh và xuất khẩu lao động. Aokhoacdalat.com được đồng hành cùng các bạn!!!!

    ReplyDelete