Monday, 10 November 2014

AHLI PARLIMEN BATU SAPI PERTIKAIKAN PERINTAH BERKURUNG ESSZONE




OLEH: SHAIMON S JUMADI


BATU SAPI:- Pengisytiharan Perintah Berkurung yang berkuatkuasa di ESSZONE dengan tujuan untuk mempertingkatkan kawal selia keselamatan perairan Sabah khususnya di kawasan ESSZONE, tidak menjejaskan aktiviti penangkapan ikan.



Kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato Seri Dr Shahidan Kassim ketika menjawab pertanyaan dari Ahli Parlimen Batu Sapi Datuk Linda Tsen Thau Lin semasa persidangan Dewan Rakyat, yang minta Menteri menyatakan impak perintah berkurung di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSZONE) yang dilaksanakan sejak Julai 2014, keatas ekonomi di Pantai Timur Sabah terutamanya sektor pelancongan dan perikanan.

“Bagi nelayan yang ingin keluar menangkap ikan sepanjang tempoh Perintah Berkurung, mereka boleh mendapatkan permit untuk menjalankan aktiviti perikanan di zon perairan Perintah Berkurung daripada Ketua Polis Daerah,” tambah Shahidan.

Menurut Shahidan, sebanyak 1,697 permit telah dikeluarkan sejak dari 19 Julai sehingga 9 Oktober 2014.

Dari aspek pelancongan pula, terdapat penurunan jumlah pelancong ke ESSZONE antara bulan April hingga Jun 19 2014. Namun,  lawatan daripada Pesuruhjaya Tinggi British dan Kedutaan Jepun ke ESSZONE bagi tujuan mengkaji semula 'Travel Advisory' telah berpuas hati dengan tahap keselamatan dan langkah-langkah yang telah diambil oleh ESSCOM, katanya lagi.


Sehubungan dengan itu, sejak bulan Julai 2014, ketibaan pelancong-pelancong asing mula menunjukkan peningkatan. Perangkaan data tempahan di pusat-pusat peranginan juga menunjukkan peningkatan ketibaan dari tempahan dalam kalangan pelancong asing mulai minggu pertama Oktober 2014 hingga Disember 2014, kata Shahidan.


“Pengusaha-pengusaha pusat peranginan dan pelancong juga rata-rata berpuas hati dengan tahap keselamatan di kawasan perairan ESSZONE. Mereka berharap perintah berkurung ini dapat diteruskan agar keselamatan mereka lebih terjamin,” kata Menteri.

No comments:

Post a Comment