Thursday 20 November 2014

PKR dakwa Putrajaya potong 60% subsidi makanan asas di Sabah, Sarawak


Oleh Mohd Farhan Darwis



PKR hari ini mendakwa program 1Malaysia 1Harga menyaksikan pemotongan 60% subsidi bagi makanan asas seperti minyak masak, tepung, dan gula di Malaysia Timur dalam Belanjawan 2015.


Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking berkata, berbanding peruntukan RM85 juta pada 2014 bagi Sabah dan Sarawak, jumlah itu diturunkan secara dramatik kepada RM33 juta dalam Belanjawan 2015.

"Ini menyaksikan pemotongan RM52 juta dan penurunan 60% daripada peruntukan tahun sebelumnya," kata Darell, ketika sidang media di lobi Parlimen, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, dan Kepenggunaan memaklumkan kepadanya penurunan itu disebabkan penurunan permintaan minyak masak di Sabah dan Sarawak.

"Jawapan ini tidak masuk akal kerana jumlah subsidi minyak masak di Sabah dan Sarawak sangat tinggi pada 2014, sekitar RM60 juta," kata Darell.

"Penurunan ini menunjukkan betapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Barisan Nasional (BN) tidak mempedulikan rakyat Sabah dan Sarawak," katanya.

Darell berkata, harga barangan di Sabah dan Sarawak kini menyaksikan peningkatan antara 5% dan 10%.

"Tetapi ada sesetengah barangan mengalami kenaikan sehingga 15%." Pada Mac 2013, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata program 1Malaysia 1Harga tersebut melibatkan 304 produk 1Malaysia, 89 produk COOP 1Malaysia serta 69 produk keluaran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

Katanya, penyenaraian kesemua produk berkenaan merupakan susulan pelaksanaan fasa satu program itu yang hanya melibatkan dua barang keperluan, iaitu gula dan tepung gandum.

Beliau dilaporkan berkata, program penyeragaman harga di Sarawak bermula sejak 2009, namun ia hanya membabitkan antara kawasan bandar dan pedalaman.


"Sekarang, kita bukan hanya menyeragamkan harga antara kawasan bandar dan pedalaman, malah memastikan harga produk berkenaan sama, tidak kira di Semenanjung, Sabah atau Sarawak," katanya. – 20 November, 2014. (The Malaysian Insider)

No comments:

Post a Comment