Monday 10 November 2014

JELAJAH SISWA DITERUSKAN SEKALIPUN DITAHAN



Walaupun dijerit, dihalau dan ditahan, Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya Fahmi Zainol tidak mempedulikanya dan akan meneruskan jelajah ke universiti lain.

"Tindakan (saya) seterusnya akan terus jelajah ke kampus-kampus IPTA (Institut Pengajian Tinggi Awam)," katanya kepada Malaysiakini hari ini.



Aktivis siswa itu memaklumkan akan ke Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 14 November ini; Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang sehari kemudian, sebelum ke Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) pada 20 November ini.

Fahmi bersama tujuh lagi rakan siswa ditahan malam tadi selepas mereka diarah beredar dan dihalang mengadakan perhimpunan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Beliau berkata polis tidak memaklumkan kepada mereka bawah akta mana mereka ditahan, tetapi hanya memberitahu mereka cuma disoal siasat "untuk rekod mereka".

"Bila ditanya kenapa disoal siasat, kami dimarah, telefon juga tidak dibenarkan guna," katanya.



Ditanya sama ada pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap apa yang berlaku, Fahmi berkata: "Saya fikir tidak perlu".

Lapan aktivis siswa yang ditahan jam 8 malam tadi di kampus itu kerana didakwa menyebabkan kekacauan di kampus dibebaskan tengah malam tadi dengan jaminan polis.

Tiada pendakwaan dibuat terhadap mereka setakat ini.

Mahasiswa itu antaranya daripada Universiti Malaya, UMS kampus Kota Kinabalu, UMS kampus Labuan dan UiTM Sabah.

Sebelum itu, Fahmi antara beberapa mahasiswa yang menjalani ujian air kencing, tidak dimaklumkan alasan penahanan mereka.


Skuad anti rusuhan turut ditempatkan di pintu masuk kampus itu sebelum perhimpunan berlangsung. (MALAYSIAKINI)

No comments:

Post a Comment