Thursday 20 November 2014

IGP beri jaminan, Sabah masih selamat



Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan bahawa keadaan di negeri Sabah kini masih selamat, tidak seperti yang dinyatakan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

“Masih selamat, kalau kita tengok masih lagi ramai pelancong yang pergi.”

“Saya tidak mahu mengatakan bahawa Sabah tidak selamat, tetapi kita telah, sedang dan akan mengambil semua langkah yang patut dalam kita memastikan Sabah terutama pantai timur Sabah selamat.

“Selamat bukan sahaja untuk pelancong tetapi juga untuk warganya di sana,” kata Khalid dalam satu sidang media selepas menghadiri satu forum anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Beliau mengulas kenyataan Nazri di Parlimen semalam, yang enggan memberi jaminan mengenai tahap keselamatan di Sabah.

Menurut menteri itu, beliau juga dia tidak berani mempromosikan Sabah kepada pelancong dan mempersoalkan keselamatan Sabah.

Ia ekoran siri penculikan dan juga kes pencerobohan yang berlaku di negeri di bawah bayu itu.

Susulan itu, perairan di enam daerah di pantai timur Sabah dikenakan perintah berkurung harian antara jam 7 malam hingga 5 pagi.

Penguatkuasaan bagi mengekang jenayah rentas sempadan itu berkuatkuasa sejak 19 Julai lalu dan berakhir pada 22 November.

Mengulas isu berasingan, Khalid berkata pasukan polis kini sedangberbincang dengan Jabatan Peguam Negara untuk mengubal undang-undang yang patut bagi membendung aktiviti perjudian dalam talian.

Khalid turut mengumumkan bahawa beliau akan bertolak ke Belanda dengan Peguam Negara pada 3 Disember untuk  mesyuarat dengan pasukan Siasatan Bersama MH17 di sana. (Malaysiakini)

No comments:

Post a Comment