Wednesday, 6 May 2015

Perkukuh Perpaduan UMNO, Pesan Bung





LANCAR...Bung bersama kepimpinan Umno bahagian Kinabatangan selepas melancarkan papan tanda  Ini Wilayah BN Umno Kinabatangan di kawasan Zon Bilit selepas merasmikan persidangan tersebut.



KINABATANGAN : Ahli Umno diminta memperkukuhkan perpaduan  dan tidak sesekali membenarkan sebarang usaha pihak tertentu menggugat kedudukan Umno  sebagai peneraju utama pentadbiran negara 

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Bung Moktar Radin berkata  selain perpaduan ahli Umno  juga wajar menunjukkan semangat patrotisme yang tinggi bagi menyokong kepimpinan dalam mengharungi pelbagai cabaran yang dihadapi oleh parti agar terus kekal dan relevan.


Menurut beliau, Umno kini  berhadapan dengan pelbagai usaha pihak tertentu yang tidak berkesudahan mahu melumpuhkan kekuatan  dan menghapuskan Umno.sebagai tulang belakang kerajaan Barisan Nasional menerajui pentadbiran Negara.


SOKONGAN ...Barisan ahli jawatankuasa Pergerakan Wanita Umno bahagian Kinabatangan yang turut hadir ke majlis tersebut

“Ini cabaran getir yang sedang di hadapi oleh Umno/Barisan Nasional , menuntut kita  sebagai pendokong  bekerja keras demi mempertahankan kekuatan politik  untuk memastikan Umno dan Barisan Nasional (BN) terus berkuasa memegang tampuk pemerintahan negara” katanya ketika berucap merasmikan serentak persidangan Umno cawangan cawangan bagi Zon Bilit dekat sini baru baru ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Umno bahagian Jafry Ariffin, Naib Ketua Umno bahagian Pg Aziz Pg Damsah dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno bahagian Kinabatangan Aksyah Nasrah. 

Menurut Bung yang juga Ahli Palimen Kinabatangan, ahli Umno perlu memahami perkembangan semasa  tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai isu yang cuba disensasikan oleh pihak tertentu terutamanya pembangkang yang ingin melihat tahap perpaduan rakyat khususnya ahli Umno rapuh demi menjayakan agenda peribadi mereka.

“Sebagai ahli parti, kita jangan hilang tumpuan dengan  kemalut yang melanda parti kerana kita mempunyai pemimpin yang bijak  untuk menanganinya, sebaliknya tanggungjawab kita  mempertahankan parti Umno yang banyak berjasa kepada bangsa agama dan Negara agar terus kukuh sebagai parti pemerintah ” katanya.


TERIMA LAPORAN....Bung menerima laporan mesyuarat dari salah seorang Ketua Cawangan pada majlis tersebut

Katanya rakyat khususnya ahli ahli Umno perlu sedar perjuangan orang Melayu/bumiputera  di dalam UMNO  adalah ikhlas demi agama, bangsa dan negara,  yang menjadikan genersi hari ini  mewarisi kemakmuran dan kesenangan hasil dari perjuangan Umno yang perlu dipertahankan.

“Ahli-ahli UMNO, terutama yang memegang jawatan baik diperingkat cawangan mahupun bahagian, perlu lebih bersikap terbuka dan berpegang teguh dengan prinsip  mendahulukan perjuangan agama, bangsa dan negara daripada kepentingan diri sendiri” katanya. 

Sehubungan dengan itu, Bung mengajak ahli Umno agar membuang segala penyakit hasad dengki, khianat, dendam dan sebagainya  yang selama ini menjadi racun perosak di dalam UMNO, sebaliknya digantikan dengan sikap taat kepada pemimpin, setia kepada perjuangan parti, berani untuk berubah, mempunyai semangat setiakawan yang tinggi, bijak dalam membuat keputusan serta ikhlas dalam perjuangan. 

Katanya jika sikap ini dapat dihayati dan diterjemahkan oleh setiap ahli dan kepimpinan di dalam UMNO, maka  parti akan menjadi lebih utuh dan kukuh pada menghadapi cabaran .

“Ahli-ahli UMNO mesti bersatu minda, sikap dan perjuangan demi untuk menambahkan kekuatan yang sedia ada ini. Kita tidak boleh lagi meneruskan budaya pecah belah dan berpuak-puak di dalam UMNO. Musuh bukan di kalangan kita sendiri, tetapi kita kini sedang menghadapi ancaman musuh di luar lingkungan kita” katanya.

No comments:

Post a Comment